Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli enggan dikaitkan dengan video intim yang didakwa melibatkan seorang individu yang mirip dengan seorang menteri Kabinet.

Rafizi dilaporkan berkata beliau menyerahkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa yang sedang menyiasat tentang video tersebut.

"Saya tidak mahu terlibat dalam perkara ini, meskipun di peringkat parti ... biar pihak berkuasa menyiasat perkara ini," katanya kepada portal Malaysiakini.

Rafizi berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan yang dibuat oleh Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah, Blisson Zainuddin yang mendakwa Haziq Abdullah Abdul Aziz berada dengan kem Rafizi ketika pemilihan parti tahun lalu.

Blisson mendakwa Haziq telah diberikan peluang bertanding dalam pemilihan parti tahun lepas dan bersama dalam kumpulan Reformasi 2.0 yang diketuai Rafizi.

Haziq yang pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Sulit Kanan Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin menggemparkan negara apabila membuat pengakuan mengadakan hubungan intim dengan seorang ahli politik dan menteri kanan.