Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, mempelawa pelabur tempatan serta asing untuk bertapak di Perlis supaya dapat menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi di negeri itu.

Baginda bertitah, kerjasama daripada pelbagai agensi kerajaan seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) juga amat dialu-alukan bagi membantu mempromosikan Perlis sekali gus membawa pelabur ke negeri itu.

"Jaringan sedia ada dengan semua pihak termasuk pelabur asing dan agensi kerajaan pusat harus dilihat sebagai jalan terbaik bagi menggalakkan lagi sebarang proses berkaitan kemasukan pelaburan ke Perlis," titah baginda, di sini, pada Sabtu.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan menerima menghadap hormat delegasi CEE Power Co. Ltd. Group dari China, yang diundang baginda ke Perlis, bagi melihat sendiri peluang pelaburan yang ada.

Delegasi berkenaan diketuai oleh Pengerusi CEE Power, Tianxu Chen serta Naib Presiden, En Xi Chen.

Taklimat mengenai potensi pelaburan di Perlis disampaikan oleh Pejabat Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN), Pejabat Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) Negeri Perlis dan UniMAP Holdings.

-- BERNAMA