Raja Permaisuri Agong Ketua Perlembagaan UIAM baharu

Raja Permaisuri Agong Ketua Perlembagaan UIAM baharu
Raja Permaisuri Agong melihat jubah rasmi Ketua Perlembagaan UIAM selepas baginda menerima watikah pengisytiharan sebagai Ketua Perlembagaan UIAM daripada Maszlee (kiri) pada majlis di Istana Negara hari ini. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menerima watikah pengisytiharan sebagai Ketua Perlembagaan (Canselor) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) baharu di Istana Negara, hari ini.

Tunku Azizah yang juga wanita pertama dilantik bagi jawatan tersebut bagi tempoh lima tahun berkuat kuasa 12 April lepas, menerima watikah berkenaan daripada Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik pada majlis terima menghadap baginda pagi tadi.

Pelantikan Tunku Azizah itu menggantikan Sultan Pahang kelima, Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar yang mangkat pada 22 Mei lalu.
Turut serta menghadap Rektor UIAM Prof Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak, Timbalan Rektor Prof Dr Isarji Sarudin dan beberapa kepimpinan tertinggi UIAM.

Sementara itu, Dzulkifli berkata pertemuan hari ini adalah untuk memaklumkan secara rasmi kepada Tunku Azizah sebagai ketua perlembagaan serta sempena menjunjung kasih sembah maklum dan sembah tahniah atas pelantikan baginda sebagai Ketua Perlembagaan UIAM yang baharu.

Dzulkifli berkata jubah rasmi Tunku Azizah sebagai ketua perlembagaan akan ditempah baharu menggunakan kain Tenun Pahang Diraja bagi upacara rasmi universiti.

"Jubah canselor (ketua perlembagaan) adalah baju rasmi, tapi atas titah Tuanku, baginda ingin 'localise' baju (jubah) tersebut dengan kain Tenun Pahang Diraja.

"Kita amat terharu kerana memang kita mahukan tradisi tempatan mewarnai universiti kita. Daripada diimport, kini reka bentuknya sendiri masih sama tapi buatannya adalah buatan tempatan khususnya dari Pahang," katanya pada Bernama di sini, hari ini.

-- BERNAMA