Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada Khamis menerima pengiktirafan tertinggi apabila dianugerahkan pingat perkhidmatan Persatuan Pandu Puteri dan Pengakap Puteri Sedunia (WAGGGS).

Pingat tersebut merupakan bentuk pengiktirafan tertinggi yang diberikan oleh WAGGGS kepada individu cemerlang yang mempamerkan perkhidmatan luar biasa kepada pertubuhan Pandu Puteri dan Pengakap Puteri di peringkat nasional dan global.

Perkara itu diumumkan Pengerusi Lembaga WAGGGS Sedunia Ana Maria Mideros menerusi YouTube semalam.

Katanya, ia dianugerahkan kepada Tunku Azizah susulan penglibatan, perkhidmatan serta sumbangan luar biasa Seri Paduka dalam persatuan itu sama ada di peringkat nasional mahupun global.

"Pihak kami sangat berterima kasih di atas komitmen tidak berbelah bahagi Tunku Azizah dan ia terserlah melalui pencapaian serta peranan Seri Paduka.

"Anugerah ini diberikan sebagai pengiktirafan khas atas dedikasi dan sokongan Tunku Azizah yang tidak pernah kenal lelah untuk pergerakan," katanya.

Tunku Azizah dilihat menitiskan air mata selepas mendengar pengumuman tersebut.



Baginda pernah menyandang jawatan sebagai Presiden Persatuan Pandu Puteri Malaysia cawangan Pahang, Timbalan Presiden Persatuan Pandu Puteri Malaysia, Penaung Diraja Persatuan pandu Puteri Malaysia dan Ahli Lembaga Olave Baden-Powell Society.

Pada 2015, baginda menjadi Penaung Diraja Sahabat Asia Pasifik Persatuan Pandu Puteri (EAPW) dengan keanggotaan dari 27 negara di rantau Asia Pasifik.
Ana Maria memaklumkan, Tunku Azizah menjadi inspirasi kepada ramai individu bukan sahaja di Malaysia malah di rantau Asia Pasifik dan seluruh dunia sebagai ejen perubahan dalam komuniti mereka.

"Penghormatan diberikan ke atas kerja-kerja atau sumbangan Tunku Azizah di Malaysia terutamanya dalam menyokong pembangunan dan pemerkasaan keupayaan individu dan masyarakat melalui penubuhan Yayasan Fertiliti Tunku Azizah.

"Selain itu, kelab jahitan di Kuantan yang menyokong kekuatan ekonomi wanita, Institut Kemahiran Diraja Tengku Ampuan Besar Meriam, Tenun Pahang dan Tenun Pahang Projek Diraja di Penjara Penor," tambahnya.