Anak buah kepada Allahyarham Fairuz Nizam Husain, 35, yang maut dalam nahas membabitkan tiga buah kenderaan di Km 6.2 Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) awal pagi Sabtu lalu menjelaskan bahawa keluarga mangsa sedang menunggu siasatan sepenuhnya daripada pihak polis berhubung kejadian berkenaan.

Mohd Izat Roslan ketika dihubungi Astro AWANI memberitahu, pihak keluarga dan saudara-mara mangsa hari ini baru sahaja diberikan maklumat terbaharu daripada pihak polis dalam sebuah sidang media

“Menurut pihak polis, siasatan awal berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan Setiawangsa jelas menunjukkan bahawa kereta-kereta Myvi tersebut dipandu dengan laju seperti sedang berlumba di lebuh raya tersebut,” ujarnya.

Tambahnya, pihak polis telahpun menahan dua orang untuk membantu siasatan selain mendapatkan keterangan daripada lima orang saksi.



Mengulas tindakan adik kepada mangsa, Muhamad Faizznur Asyraf yang meminta mana-mana pihak daripada kelab kereta Myvi tampil berjumpa dengan keluarga mangsa, Mohd Izat memberitahu itu adalah usaha pihak keluarga mangsa untuk mendapatkan penjelasan berkaitan kemalangan tersebut.

BACA: Adik mangsa kemlangan DUKE mahu jumpa admin kelab kereta Myvi

“Kami memang cuba mendapatkan ahli jawatankuasa kelab tersebut. Sehingga kini kami masih belum mendapat penjelasan daripada sebarang individu yang mewakili kelab berkenaan.

“Cuma ada seorang yang mengakui berada dalam jaringan kelab berkenaan yang telah berhubung dengan kami dan menyatakan persetujuan bertemu keluarga kami,” ujarnya.

Kata Mohd Izat, individu tersebut datang atas kapasiti peribadi dan bukannya mewakili kelab berkenaan.

Ia dipercayai bagi membersihkan namanya kerana gambarnya bersama anggota lain kelab tersebut banyak dimuat naik di internet sedangkan dia tidak ada kena-mengena dengan kes kemalangan itu.

BACA: Enam pemandu berlumba atas DUKE, 3 maut termasuk bayi

WAWANCARA KHAS: Saksi terawal ceritakan detik cemas kemalangan DUKE

MEDIA SOSIAL: Netizen luah rasa berang


Selain foto peribadi ahli kelab tersebut, turut tersebar adalah salinan laporan polis yang dibuat oleh salah seorang daripada pemandu yang terlibat.

Paparan imej pegun skrin daripada perbualan WhatsApp ahli kelab itu juga tersebar di laman sosial.

Turut dilihat di garis masa laman sosial adalah salinan laporan polis yang dilakukan oleh Muhammad Zakid, saksi terawal yang berada di tempat kejadian.