Seorang lelaki Bangladesh dibunuh dengan kejam oleh rakan senegara semata-mata kerana 'iri hati' jualan kuih tradisionalnya tidak selaris kuih si mangsa.

Mayat lelaki itu dijumpai di dalam longkang di hadapan sebuah masjid di Seksyen 27 di sini petang tadi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Shafien Mamat berkata mangsa lelaki itu berumur 30an yang menjalankan perniagaan menjual sejenis kuih tradisional dari Bangladesh di Seksyen 27 di sini, dibunuh pada Khamis lalu oleh suspek yang turut menjalankan perniagaan yang sama .

"Mangsa mati akibat kecederaan di kepala akibat dihentak dengan penukul. Mayat mangsa juga ditetak, dilipatkan, dan dibungkus dengan guni sebelum dibuang ke dalam longkang di hadapan Masjid Baitul Mahabbah di sini.

"Penemuan mayat mangsa adalah susulan daripada majikan mangsa yang membuat laporan polis pada tengah hari tadi bahawa mangsa tidak datang bekerja sejak Khamis lalu (21 Sept).

"Majikan mangsa turut membawa dua suspek lelaki warga Bangladesh berusia 30an yang didakwanya telah mengaku membunuh mangsa.

“Suspek kemudian membawa polis ke lokasi mayat mangsa dibuang pada kira-kira pukul 2 petang tadi," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi berkenaan di sini hari ini.



Tambah Shafien melalui siasatan awal polis mendapati salah seorang suspek iri hati apabila jualan kuih mangsa mendapat sambutan lebih baik daripada kuih jualan suspek.

"Kedua-dua mereka menjual sejenis kuih tradisional dari Bangladesh.

"Suspek kemudian telah memanggil mangsa datang ke rumahnya di Taman Bunga Negara di sini pada Khamis kira-kira pukul 11 pagi dan membunuh mangsa.

“Mayat mangsa dibuang di dalam longkang di sini dengan bantuan suspek kedua pada kira-kira pukul 1.30 petang hari yang sama," katanya.

Kata Shafien dengan penangkapan dua suspek itu kes berkenaan dianggap selesai.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

-- BERNAMA