Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata lebih banyak peruntukan akan disalurkan kepada rakyat jika harga minyak mentah Brent naik melangkaui paras US$48 setong tahun depan.

Katanya jika harga minyak naik, pendapatan kerajaan akan bertambah sekali gus membolehkan ia berbelanja lebih.

"Jika jatuh lebih rendah daripada US$48 setong, kita perlu menyemak semula bajet kerana kita tidak boleh mencatat defisit melebihi paras 3.2 peratus dan kita juga tidak boleh melangkaui nisbah hutang berbanding KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar)," katanya.

Ahmad Husni ditemui pemberita selepas melancarkan Persidangan Akauntan Antarabangsa 2015 Institut Akauntan Malaysia (MIA), di sini hari ini.

Turut hadir Presiden MIA Datuk Mohammad Faiz Azmi dan Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang.
Ahmad Husni berkata semakan semula Bajet 2016 itu perlu bagi melindungi ekonomi dan rakyat.

"Kita perlu melindungi ekonomi untuk memastikan kita mencatat pertumbuhan yang mampan dan berdasarkan unjuran, kita boleh mencatat pertumbuhan KDNK empat hingga lima peratus," katanya.

Beliau berkata kerajaan perlu memastikan negara menjadi ekonomi berpendapatan tinggi dengan menumpukan kepada produktiviti, melibatkan sektor pendidikan dan latihan.

Persidangan dua hari sehingga esok itu bertemakan 'Today's Synergy, Tomorrow's Reality' berjaya menarik hampir 2,800 peserta tempatan dan antarabangsa daripada komuniti perdagangan dan industri serta sektor awam, firma swasta dan ahli akademik.