Jumlah yang menghidap COVID-19 di kalangan migran atau pendatang asing amat membimbangkan rakyat Malaysia.

Setiausaha Politik Xavier Jeyakumar, Fazly Razally berkata, bilangan mereka yang dijangkiti bertambah, seperti yang dilaporkan beberapa hari kebelakangan ini.

Melihat kepada bilangan mereka yang dijangkiti setakat ini, beliau berkata, timbul persoalan, berapa ramai lagi migran di luar sana yang mungkin positif COVID-19 dan sedang bersembunyi kerana takut akan diambil tindakan.

"Berapakah kapasiti pusat-pusat tahanan depoh yang ada di seluruh negara dan mampukah kita menampung lebih ramai migran-migran untuk ditahan dan menjalani ujian saringan pandemik itu?

"Kita tidak ingin cuba menghalang tindakan kerajaan tetapi mempersoalkan pendekatan kerajaan yang pastinya akan menyebabkan migran-migran ini lari dan bersembunyi kerana tidak mahu dipenjarakan, didenda atau dihantar pulang," katanya lagi.

Bercakap dalam satu kenyataan yang dikeluarkan melalui laman Facebook miliknya pada Khamis, Fazly menyarankan kerajaan supaya mengambil pendekatan menggalakkan mereka tampil menjalani ujian COVID-19.

"Bukannya menahan mereka dan menyebabkan mereka takut untuk tampil. Ini tentunya membahayakan rakyat Malaysia dalam menyediakan persekitaran yang kondusif untuk kita kembali menjalani kehidupan normal," tambahnya.

Beliau yang juga merupakan Setiausaha Politik Naib Presiden PKR Xavier Jayakumar berkata, keutamaan yang mendesak sekarang adalah membanteras wabak itu.

"Ya, mungkin data yang dikumpulkan boleh digunakan untuk usaha pembanterasan pendatang asing tanpa izin (PATI) kelak, tetapi usaha sekarang harus ditumpukan ke arah prioriti untuk melawan COVID-19 habis-habisan.

"Ini tidak dapat dilakukan jika ribuan, malah ratusan ribu warga migran ini terus bersembunyi dan berpotensi menimbulkan kluster baharu yang tidak tersangka di masa hadapan, yang merumitkan lagi keadaan," katanya.

Sumber Facebook FazlyFaizalRazally