Rakyat di negara ini diseru mengelakkan pertelingkahan dan sentiasa hormat menghormati dan menyantuni antara satu sama lain tanpa mengira perbezaan agama dan bangsa.

Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah, Malaysia dibina atas persetujuan, persefahaman dan dasar kompromi sosial politik yang unik dengan keunikan itu sendiri telah diperkenan oleh raja-raja Melayu bagi membentuk sebuah negara yang merdeka.

"Ia kemudian telah dinyatakan dengan jelas dalam pelbagai peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Bagaimanapun, hari ini terdapat segelintir rakyat yang mahu mengubah landskap sosial politik yang unik ini melalui penerimaan dasar kesaksamaan fahaman Barat.

"Dasar ini telah dirangka oleh orang asing yang tidak mengambil kira keunikan, kepelbagaian, kesucian agama Islam dan sensitiviti rakyat serta kedaulatan raja-raja Melayu," titah baginda

Baginda bertitah demikian ketika di Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Pahang di Masjid Sultan Ahmad Shah 1 di sini, hari ini.

Turut berangkat Tunku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Panglima Besar Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Tengku Abdullah.

Hadir sama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Pendidikan dan Kesihatan Negeri, Datuk Syed Ibrahim Syed Ahmad dan Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman.

Tengku Abdullah bertitah Malaysia telah dibangun dan menempuh pelbagai cabaran dengan acuan tersendiri dan dasar kompromi sosial politik yang ada pada masa kini telahpun dipersetujui oleh semua kaum sehingga menjadi tunjang perpaduan serta keharmonian kepada negara selama ini.

"Nasihat saya ambillah iktibar dari sirah Rasulullah S.A.W. yang sentiasa mempamerkan kepimpinan dengan misi dan wawasan dalam setiap tindakan serta pembaharuan yang dilakukan baginda.

"Saya khuatir sebarang pembaharuan dan perubahan kepada dasar sosial politik negara tanpa melakukan kajian yang mendalam hanya akan mengundang mudarat yang tidak berkesudahan," titah baginda.

Dalam masa yang sama, Tengku Abdullah turut menyeru pemimpin pada masa kini supaya mencontohi sifat dan kepimpinan yang ada pada Rasulullah S.A.W. yang tidak tidak pernah putus asa menyantuni umat pada waktu itu tanpa mengira agama dan darjat walaupun berhadapan dengan pelbagai ujian getir.

"Rasulullah S.A.W. seorang nabi yang sentiasa menyantuni umat, sentiasa tersenyum. Baginda memiliki wajah lembut sehingga sesiapa melihat merasa tenang, maka tidak hairanlah mengapa kaum kafir Quraish mengelak untuk melihat wajah baginda.

"Lantaran perwatakan ini jugalah, baginda berjaya menyatukan kaum Muhajirin dan Ansar semasa behijrah ke Madinah yang akhirnya telah menbawa rahmat sosio-ekonomi dan memakmuran kepada kota itu.

"Visi penyatuan umah ini wajar dijadikan iktibar kerana ia merupakan ramuan kesepaduan dalam membentuk masyarakat yang bertamadun, justeru, amatlah bertepatan kepada pemimpin masa kini untuk mencontohi corak kempimpinan Rasulullah S.A.W. yang tidak memecah belahkan masyarakat.

"Saya yakin jika pemimpin pada masa kini mencontohi keperibadian baginda, negara akan terus makmur dan agama akan terus terpelihara," titah baginda. -- Bernama