Jentera Pilihan Raya Kecil (PRK) Pakatan Harapan (PH) tidak tergugat dengan kehadiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Semenyih, kata Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata demikian apabila ditanya mengenai kehadiran penonton ceramah PRK yang lebih ramai di kem Barisan Nasional (BN) berbanding PH pada Ahad disebabkan kehadiran Najib.

“Yang datang semua ini siapa? Bossku katanya. Tapi saya nak ingatkan rakyat bawahan kerajaan Bossku sudah tumbang.

“Kenapa kerajaan Bossku tumbang? Kerana Bosskulah buat hal, curi wang rakyat, masalah skandal berkaitan 1MDB, Tabung Haji, Felda, Felcra dan sebagainya.

“Janganlah kita cepat lupa,” katanya dalam sidang media di Pekan Beranang semasa turun berkempen untuk calon PH Muhammad Aiman Zainali.

Pada Ahad, program yang dikendali PH dan BN di Bandar Tasik Kesuma berada pada jarak sekitar 50 meter.

Kehadiran peserta di program BN dianggar sekitar 1,500 orang manakala di PH pula hanya kira-kira 300 orang.

Bagaimanapun, kehadiran 1,500 penonton di program BN itu tidak dapat disahkan adakah mereka adalah penduduk tempatan kerana berdasarkan tinjauan Astro AWANI, terdapat lebih 40 buah kereta diletakkan berhampiran program tersebut.