Tengku Mahkota Johor (TMJ) Tengku Ismail Sultan Ibrahim mengingatkan rakyat Johor untuk terus bersatu menentang pengaruh luar yang cuba memecahbelahkan rakyat negeri itu.

Katanya, wujud pihak tertentu yang kurang senang melihat perpaduan dalam kalangan rakyat negeri itu malah ada yang membuat provokasi dengan mempersoalkan penggunaan konsep 'Bangsa Johor.'

“Janganlah anda terpengaruh dengan strategi ‘divide and conquer’ oleh mana-mana pihak.

“Ingatlah betapa kuatnya kita bila kita bersatu, seperti mana nasihat dan moto negeri Johor, 'Muafakat itu berkat, Allah peliharakan Sultan, Johor mesti sentiasa jadi Johor,'” katanya.

TMJ berkata demikian dalam posting terbarunya di Facebook Johor Southern Tiger pada Selasa.

Katanya sejak kebelakangan ini ada pihak yang dilihat cuba mengugat perpaduan Johor dengan mempersoalkan pengunaan 'Bangsa Johor' berbanding bangsa Malaysia.

Jelas TMJ, konsep itu telah lama digunakan sejak zaman datuk moyang beliau di mana kaum Melayu, Cina dan India dikenali sebagai Bangsa Johor sejak 1885, 72 tahun sebelum penubuhan Malaysia.

“Kami bangga dengan sejarah kami. Kami tidak kacau mana-mana pihak. Ini adalah asal usul sejarah kami.

“Jikalau anda hendak bangga dan panggil diri anda Bangsa Malaysia atau 5 Malaysia, ia bukan satu jenayah.

“Tetapi kepada Bangsa Johor, jangan kita lupa bahawa ini adalah negeri kami, bumi dan hak milik negeri ini adalah hak anda semua,” katanya lagi.

Pewaris takhta Johor itu yang berusia 31 tahun terkenal dengan kelantangannya dalam menyuarakan pendapatnya dalam pelbagai perkara termasuk isu politik negara.

Kenyataan terbaharu TMJ itu menerima reaksi pelbagai oleh pengguna di media sosial yang rata-rata menyokong usaha ke arah perpaduan.

“Takbir! Hidup Bangsa Johor. Katakan tidak pada racism. Aku hidup (tinggal) di Muar dan kami hidup dlm kalangan berbilang kaum. Di Muar ramai Cina tapi kami ok, saya sendiri mendapat pendidikan awal dari sekolah Cina,” kata Muhammad Nor Firdaus Abdul Rahman.

“Saya sentiasa bangga sebagai anak Johor walaupun kini menetap di Selangor. Dilahirkan di Johor Bahru, kad pengenalan 01, kereta pun plat JHR,” kata Tan Kian Shing.

Bagaimanapun menurut seorang lagi pengguna Facebook yang menggunakan nama Mie Belantik Ruhaimi berpendapat adalah lebih penting memperjuangkan agama berbanding bangsa.

“Bangsa Johor atau apa pun apabila mati akan mengadap Allah SWT, Allah tidak tanya bangsa apa, Allah tanya apa agama kamu.

“Nabi pun tidak mengaku umat pada orang yang memperjuangkan bangsa. Marilah kita sama-sama memperjuangkan agama Allah,” katanya.