Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali berkata kepentingan rakyat dan kedaulatan negeri Selangor akan diutamakan dan dipastikan terjamin dalam perjanjian penstrukturan air di negeri ini.

Beliau berkata komitmen itu selaras dengan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mahu perjanjian penstrukturan semula industri perkhidmatan air di negeri itu dimuktamadkan segera.

"Saya dah nyatakan berulang kali bahawa kami komited untuk memuktamadkan perjanjian utama industri air di Selangor dengan syarat kerajaan pusat tidak berganjak daripada semangat dan prinsip dalam terma perjanjian yang telah ditandatangani.

"Dan ini ditegaskan sendiri oleh Sultan Selangor supaya kerajaan negeri memelihara kedaulatan negeri selangor," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri upacara perasmian Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor ke-13 oleh Sultan Selangor di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas titah Sultan Selangor pada majlis itu yang antara lain mahu perjanjian penstrukturan semula industri air di negeri itu dimuktamadkan segera mengikut perjanjian utama yang ditandatangani kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan pada 12 Sept 2014.

Katanya adalah menjadi prinsip kerajaan pakatan rakyat di Selangor selama ini untuk tidak mempolitikkan perjanjian air yang telah ditandatangani dan pihaknya akan berjumpa dengan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Maximus Ongkili bagi memuktamadkan syarat-syarat perjanjian secepat mungkin.

Mohamed Azmin sebelum ini mengumumkan keputusan kerajaan Selangor untuk membatalkan perjanjian penstrukturan air atas alasan kerajaan Persekutuan melanggar beberapa terma Perjanjian Utama yang ditandatangani September tahun lepas.

Mengulas titah ucapan Sultan Selangor hari ini, Menteri Besar berkata baginda meletakkan satu gagasan penting untuk kerajaan negeri bagi meneruskan agenda pembangunan dan kemajuan di Selangor.