Kejayaan kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM2020) sangat bergantung kepada pelaksanaan promosi yang efektif yang perlu dimainkan oleh setiap lapisan masyarakat.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, sekiranya sektor industri pelancongan ingin kekal kompetitif, ia perlu bergerak seiring transformasi digital dengan menekankan kepada pemasaran digital menggunakan pelbagai platform media sosial.

“Untuk memastikan TMM2020 menjadi satu kejayaan, ayuh kita jadikan ia sebagai misi peringkat nasional.

“Justeru, saya menyeru semua pihak, rakyat dan rakan-rakan, untuk membantu kita menjayakan kempen dan berkongsi kepada semua, tentang kecantikan, keamanan dan keindahan Malaysia,” katanya ketika merasmikan Logo Kempen TMM2020 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Ujarnya, semua rakyat Malaysia mempunyai peranan dalam kempen TMM2020 terutama di peringkat hospitaliti bagi memastikan setiap pelancong bukan sahaja setia malah akan kembali ke Malaysia.

“Hospitaliti kita bukan hanya pada slogan, sebaliknya perlu diterjemahkan dalam kehidupan dan budaya masyarakat.

“Kecantikan sesuatu tempat akan menarik pelancong, tetapi hospitaliti akan menjadikan mereka setia dan kembali semula,” ujarnya.


Sementara itu, Dr Mahathir dalam sidang medianya berkata, mutu perkhidmatan di semua pintu masuk negara perlu dipertingkatkan agar lebih mesra pelancong bagi menjayakan TMM2020.

Jelasnya, rakyat Malaysia juga perlu menunjukkan sikap ramah dan sentiasa senyum ketika berurusan dengan pelancong kerana ia menjadi antara keutamaan pelancong dalam memilih destinasi pelancongan.

“Kita kena selalu senyum, beri perkhidmatan terbaik kepada pelancong, tunjukkan mereka arah dan apa sahaja yang mungkin ditanya, jawab dengan teratur supaya pelancong mengenali Malaysia.

“Malaysia mungkin tidak banyak tempat bersejarah namun, kita melakukan yang terbaik dalam industri ini dengan menduduki tempat ke sembilan negara paling dilawati di dunia, jadi saya rasa kita mampu melakukan lebih baik lagi” katanya.

Logo baharu yang dilancarkan Dr Mahathir mempunyai pelbagai ikon Malaysia yang dikenali ramai seperti burung kenyalang, bunga raya, paku pakis liar dan warna-warna bendera Malaysia.

Logo tersebut merupakan ciptaan Alfred Phua Hong Fook, 23 tahun, seorang pereka grafik yang berjaya mengenepikan ratusan peserta pertandingan tersebut.