Mengenang asas kenegaraan dan peristiwa kemerdekaan tahun 1957 merupakan dua jenis kemerdekaan yang dicapai oleh rakyat Malaysia pada tahun ini, menurut penulis dan pengasas Pusaka, Eddin Khoo.

Beliau berkata, kedua-dua bentuk kemerdekaan ini merupakan peristiwa besar dalam sejarah negara yang dialami oleh rakyat Malaysia sepanjang 61 tahun pembentukan negara.

“Sangat besar dan bermakna. Dua jenis kemerdekaan ini telah diulas oleh Perdana Menteri dalam Perutusan Kemerdekaan beliau semalam.

“Satu untuk mengenang peristiwa kemerdekaan, percaturan negara sejak 1957, dan kemudian, untuk memberi semangat supaya kita mengenang kembali asas kenegaraan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu Program Sambutan Hari Merdeka terbitan Astro AWANI, di sini, hari ini, mengulas perutusan Tun Dr Mahathir Mohamad pada Khamis sempena sambutan Hari Kebangsaan 2018.

BACA: Perutusan Perdana Menteri sempena sambutan Hari Kebangsaan 2018

Perdana Menteri berkata, Kerajaan Pakatan Harapan akan menjamin keadilan bagi semua rakyat setelah parti itu mencapai kemerdekaan kedua dengan menolak pemerintahan kejam kerajaan terdahulu.

Sekali gus, Ahli Parlimen Langkawi itu mengajak rakyat berganding bahu bersama kerajaan untuk memulihkan negara susulan kerosakan yang ditinggalkan oleh kerajaan terdahulu.