Semua rakyat Malaysia di Hong Kong termasuk kira-kira 400 pelajar dilaporkan selamat, menurut Wisma Putra hari ini.

Wisma Putra berkata Konsulat Jeneral Malaysia di Hong Kong berhubung rapat dengan pihak berkuasa di negara itu dan semua rakyat Malaysia yang berdaftar, termasuk penuntut di Chinese University of Hong Kong (CUHK), Hong Kong University (HKU) dan Polytechnic University (PolyU).

"Konsulat Jeneral juga turut membantu beberapa pelajar Malaysia yang mahu kembali ke tanah air sempena cuti semester mereka disebabkan gangguan sistem pengangkutan awam yang tidak dijangka pada Ahad (17 Nov)," menurut Wisma Putra dalam kenyataan di sini hari ini.

Wisma Putra berkata kerajaan Malaysia dan Konsulat Jeneral mengikuti dengan teliti perkembangan di Hong Kong demi menjamin keselamatan rakyat Malaysia.

"Konsulat Jeneral Malaysia juga aktif berkongsi maklumat dan nasihat perjalanan yang relevan dengan warga Malaysia di Hong Kong," katanya.

Wisma Putra menasihatkan rakyat Malaysia di Hong Kong mendaftar dengan Konsulat Jeneral Malaysia melalui e-mel.

Konsulat Jeneral Malaysia boleh dihubungi di talian +852 2821 0800/+852-6900-6390 (WhatsApp/WeChat) selepas waktu pejabat, fax +852 28651628, e-mel di [email protected], Facebook https://www.facebook.com/MALAYSIAinHongKongMacao dan Twitter https://twitter.com/MYCGHKSAR

-- BERNAMA