Rakyat Malaysia yang berada di Turki masih lagi berada dalam keadaan tenang ketika negara itu bakal melaksanakan perintah berkurung selama empat hari bermula esok (Khamis) sehingga Ahad seperti yang diumumkan oleh Presidennya Recep Tayyip Erdogan pada Selasa.

Menurut salah seorang warganegara Malaysia yang bermastautin di sana, Norliza Dali, ketika dihubungi oleh Astro AWANI berkata, keadaan di Ankara masih terkawal walaupun ada segelintir warganya sedikit panik selepas pengumuman itu.

"Keputusan kerajaan Turki untuk melaksanakan perintah berkurung itu sebenarnya agak serius di sini. Namun begitu, rutin harian penduduk di sini adalah biasa setakat ini. Walaupun ada berlaku pembelian panik, namun ia hanya melibatkan segilintir orang sahaja.

"Hari ini pun kebanyakan pasar raya ditutup pada jam 11 malam, lebih awal daripada kebiasaan tapi esok semua pasar raya akan dibuka pada 12 tengah hari sehingga jam 4 petang sahaja," kata Norliza ketika dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp pada Rabu.

Jelas Norliza lagi, pihak berkuasa negara itu juga sudah menempatkan pusat pemeriksaan di beberapa lokasi di jalan-jalan tertentu untuk memeriksa suhu badan orang awam sebagai langkah pencegahan awal.

Malah kerajaan Turki juga mula mengedarkan topeng muka kepada orang awam di beberapa tempat termasuk di pasar-pasar dan lokasi tertentu secara percuma.

Pihak berkuasa negara itu juga melarang sebarang jualan topeng muka pada Rabu sebaliknya ia diberikan secara percuma.

Turki sehingga Rabu telah mencatatkan sejumlah 2,259 kematian akibat COVID-19 dengan jumlah terbaharu jangkitan pada Rabu adalah 95,591 kes.