Cukai pelancongan yang dijangka berkuatkuasa 1 Ogos ini tidak akan dikenakan kepada rakyat Malaysia bagi penginapan hotel tiga bintang dan ke bawah, kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Namun jelasnya, pelancong domestik tetap tertakluk kepada pembayaran cukai tersebut untuk penginapan empat bintang dan ke atas.

“Kalau orang Malaysia sendiri yang pergi ke hotel empat dan lima bintang, itu maksudnya mereka memang berduit. Takkanlah tak boleh sumbangkan sedikit?

“Kita sudah ambil kira semua, dalam untuk mempromosikan pelancongan domestik, pada masa sama bantu rakyat Malaysia supaya dapat bercuti,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) di sini hari ini.

Selain itu, beliau turut mengumumkan bahawa cukai tersebut dikecualikan kepada agensi pelancongan yang sudah menandatangani kontrak membawa masuk pelancong bagi tempoh selepas tarikh pelaksanaan cukai sehingga 31 Mac 2018.

Selepas daripada tarikh tersebut iaitu bermula 1 April 2018, mereka tertakluk kepada cukai pelancongan dan perlu membayarnya mengikut yang ditetapkan.

“Bagaimanapun mereka perlu tulis surat kepada kita dan kemukakan bukti iaitu kontrak yang sah untuk membolehkan mereka mendapat pengecualian tersebut,” katanya.

Sementara itu bagi Melaka, Pulau Pinang dan Langkawi yang telah melaksanakan cukai hotel, Mohamed Nazri menjelaskan bahawa ia terpulang kepada kerajaan negeri masing-masing untuk meneruskan cukai tersebut apabila cukai pelancongan daripada kerajaan pusat dilaksanakan nanti di seluruh negara.

Katanya, pihaknya terbuka dan sedia berbincang sekiranya kerajaan negeri merasakan cara tersebut membebankan pelancong dan melihat untuk melaksanakan satu cukai sahaja untuk sektor pelancongan.

Tegas Nazri, cukai tersebut tetap akan diteruskan sepertimana dijadual iaitu bulan depan, namun ia tertakluk kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) kerana mereka merupakan badan yang bertanggungjawab untuk membuat kutipan cukai tersebut.

Pada sidang Dewan Rakyat yang lepas, Rang Undang-Undang Cukai Pelancongan 2017 diluluskan sebagai mewujudkan sumber pendapatan khusus untuk tujuan promosi sektor pelancongan Malaysia di dalam dan luar negara.

Kadar cukai yang ditetapkan bagi penginapan satu malam adalah RM2.50 untuk penginapan tidak dinilai dan penginapan satu hingga tiga orkid, RM5 untuk penginapan satu hingga tiga bintang, RM10 untuk penginapan empat bintang dan RM20 bagi penginapan lima bintang.