Rakyat Malaysia disarankan untuk memuat turun aplikasi MySejahtera dan MyTrace bagi membolehkan pengguna melaksanakan penilaian kesihatan kendiri dan pengesanan kontak jangkitan wabak COVID-19.

Ia juga dapat membantu Kementerian Kesihatan mendapatkan maklumat awal tahap kesihatan individu bagi membolehkan tindakan susulan yang pantas dan berkesan .

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, MySejahtera akan turut membantu menilai tahap kesihatan ahli keluarga atau individu lain yang didaftarkan.

"MySejahtera membolehkan pengguna melaksanakan penilaian kesihatan kendiri (self-assessment) di samping membantu KKM mendapatkan maklumat awal tahap kesihatan individu untuk mengambil tindakan yang cepat dan berkesan," katanya semasa sidang media harian KKM pada Isnin.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham menjelaskan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah membangunkan aplikasi MyTrace yang membolehkan kerajaan menjalankan pengesanan kontak kepada individu yang disahkan positif COVID-19.

Mengulas mengenai perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Dr Noor Hisham menegaskan kepada beberapa sektor ekonomi yang dibenarkan untuk membuka semula perniagaan agar mematuhi kepada syarat-syarat dan standard prosedur operasi (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Tambahnya, jika rakyat Malaysia terus mengamalkan norma-norma baharu dalam kehidupan seharian ia mampu memutuskan rantaian COVID-19.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memutuskan Malaysia akan melaksanakan PKPB bermula 4 Mei.