Seorang rakyat Malaysia, Muhammad Nur Hanief Abdul Jalil yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada Januari lepas di Singapura telah dihantar pulang ke Malaysia bulan ini, kata Kementerian Dalam Negeri (MHA) republik itu hari ini.

Dalam laman web kementerian itu, MHA berkata ketika siasatan tidak menunjukkan Muhammad Nur Hanief cuba untuk meradikalkan orang lain atau merancang apa-apa serangan pengganas di Singapura, namun keradikalannya telah menyebabkan dia satu ancaman keselamatan kepada Singapura.

Bagaimanapun, kementerian itu tidak mendedahkan tarikh penghantaran balik Muhammad Nur Hanief.

Menurut MHA, rakyat Malaysia berumur 33 tahun itu telah melakukan pelbagai pekerjaan di Singapura sejak 2011.

"Justeru, pas kerjanya telah dibatalkan," tambahnya.

Ketika ditangkap, Muhammad Nur Hanief bekerja sebagai pemandu dengan syarikat kargo udara tempatan.

"Sebagai pemandu di syarikat itu, dia mempunyai akses ke Changi Airfreight Centre, yang merupakan kawasan larangan. Pusat kargo udara itu menyediakan perkhidmatan kargo udara ke Lapangan Terbang Changi," kata kementerian itu.

MHA berkata siasatan mendapati sejak 2008, Muhammad Nur Hanief meneliti bahan-bahan pendakwah ekstremis asing secara dalam talian.

"Menerusi pendedahan berterusan kepada bahan berkenaan, dia menjadi yakin bahawa dia perlu ke Syria atau Palestin untuk menyertai konflik di sana," tambahnya.

Menurut MHA, pada hujung tahun lepas, warga Malaysia itu memutuskan untuk bertindak mengikut rancangannya menyertai konflik di Syria atau Palestin selepas mengalami kegagalan dalam kerjanya dan kehidupan peribadi.

"Dia bersedia untuk menyertai mana-mana kumpulan militan di sana, termasuk IS di Iraq dan Syria, Free Syrian Army atau Hayat Tahrir al-Sham (sebelum ini dikenali sebagai Jabhat Fateh al-Sham/Jabhat al-Nusra), kerana dia percaya kumpulan ini akhirnya akan bersatu sehingga 'detik terakhir'," kata kementerian itu.

-- BERNAMA