Hanya kurang daripada separuh rakyat Malaysia iaitu 44 peratus menyedari dan mempunyai sedikit pengetahuan tentang privasi data dalam talian, menurut kaji selidik yang dikeluarkan oleh agensi penyelidikan pasaran global Ipsos.

Tiga kumpulan yang tidak berpengetahuan langsung tentang privasi data dalam talian adalah kumpulan dari Malaysia Timur dan juga kumpulan yang mempunyai pendidikan lebih rendah daripada SPM serta kumpulan yang berumur lebih tua sekitar 45 hingga 74 tahun.

Dapatan kajian yang dikeluarkan berkenaan adalah berdasarkan kajian yang dijalankan oleh agensi berkenaan untuk memahami pandangan dan sikap rakyat Malaysia terhadap privasi data bagi tahun 2017.

Menurut Pengarah Perhubungan Awam Ipsos Malaysia, Arun Menon, walaupun rakyat Malaysia ambil berat tentang privasi data tetapi apa yang mereka lakukan adalah kurang daripada yang sepatutnya untuk melindungi privasi dalam talian.

"Sebanyak 61 peratus menggunakan kata laluan dan nombor pengenalan peribadi (PIN) yang sama bagi pelbagai akaun.

"Apa yang mengejutkan, 31 peratus menyimpannya di lokasi-lokasi yang mereka percaya adalah selamat," jelasnya menerusi kenyataan dalam kaji selidik itu.

Dapatan kajian juga menunjukkan hanya 39 peratus responden menggunakan kata laluan dan PIN berlainan untuk pelbagai akaun mereka, manakala 36 peratus pula menyimpan kata laluan dan PIN di lokasi-lokasi yang mereka percaya adalah selamat.

Pada masa yang sama, sebanyak 30 peratus responden pula merasakan bahawa mereka tidak mempunyai kawalan yang mencukupi terhadap data peribadi dalam internet.

Kajian ini juga mendapati 31 peratus responden tidak memeriksa atau memahami polisi privasi berkenaan dengan laman-laman web yang mereka gunakan.

Bagamaimanapun, 94 peratus daripada rakyat Malaysia percaya bahawa mereka bertanggungjawab untuk melindungi data peribadi mereka sendiri berdasarkan dapatan kajian ini.

Beliau turut menyarankan agar perbadanan kerajaan dan organisasi swasta berganding bahu mendidik rakyat dan pelanggan tentang kepentingan perlindungan data serta memastikan hak orang ramai mengenai privasi data akan terus dilindungi.

Kajian tersebut dijalankan secara temu ramah bersemuka seramai 996 orang pengguna yang berumur 18 hingga 74 tahun di seluruh Malaysia, bermula dari 1 hingga 9 Disember tahun 2017.