Tutup

Rakyat Malaysia manipulasi imigresen, tinggal lebih lama di negara asing

Rakyat Malaysia manipulasi imigresen, tinggal lebih lama di negara asing
Menurut Marzuki, tindakan segelintir rakyat Malaysia yang memanipulasi undang-undang imigresen tempatan mengakibatkan kesukaran kepada rakyat Malaysia lain. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kerajaan mendapati terdapat rakyat Malaysia mengambil kesempatan dengan memanipulasi undang-undang imigresen tempatan bagi membolehkan mereka menetap di negara asing dengan tempoh yang lebih lama.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya berkata, tindakan itu telah mengakibatkan kesukaran kepada rakyat Malaysia lain yang berhasrat untuk melancong, belajar, bekerja atau menetap di negara-negara asing secara sah.
“Justeru, kerajaan sentiasa menasihatkan rakyat Malaysia supaya sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang tempatan.

“Mereka juga diingatkan supaya tidak menyalahgunakan kemudahan imigresen yang diberikan oleh kerajaan Malaysia dan negara asing bagi mengelakkan kesukaran yang boleh ditimbulkan kepada rakyat Malaysia yang lain.
“Ia juga penting demi menjaga nama baik negara,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Arthur Joseph Kurup (PBRS-Pensiangan) yang bertanyakan berkenaan statistik warganegara Malaysia yang telah menjadi pelarian di negara asing.

Menjawab soalan tersebut, Marzuki berkatak atas sebab keselamatan dan privasi, kerajaan asing tidak akan mendedahkan identiti, latar belakang dan statistik permohonan suaka yang diterima.

Beliau pada masa sama turut menasihati mana-mana rakyat Malaysia yang menerima tawaran kerja di luar negara untuk merujuk maklumat terperinci dengan Kementerian Luar serta konsulat-konsulat di negara yang menawarkan kerja tersebut. 


Tag: rakyat Malaysia, imigresen, Timbalan Menteri Luar, Marzuki Yahya, negara asing



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.