Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mahu semua pihak memberi sokongan penuh kepada barangan keluaran industri tempatan selaras dengan usaha Malaysia menjadi sebuah negara industri.

Malah, katanya, usaha itu disifatkan sebagai penting selain sokongan daripada pelaburan dalam dan luar negara.

"Kita mempunyai dasar untuk memperluaskan bidang industri dalam negara kita. Untuk ini, kita bukan sahaja mahu pelabur-pelabur tempatan dan luar negeri mengeluarkan barangan tempatan, tetapi juga kita perlu sokongan kepada rakyat.

"Rakyat di negara kita mesti sokong industri tempatan, jika mahu lihat negara kita menjadi sebuah negara industri," katanya semasa berucap melancarkan produk silinder gas petroleum cecair (LPG), ACGAS yang diusahakan Astana City Group Sdn Bhd (ACG) di ibu negara pada Isnin.

Katanya, Malaysia menyedari kepentingan menjadi sebuah negara industri yang banyak memberi keuntungan kepada rakyat.

"Kita sedar bahawa negara industri mempunyai lebih banyak pulangan dan peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia, juga apabila sesuatu itu dicipta di Malaysia, maka wang kita tidak akan mengalir keluar negeri, sekali gus memberi manfaat ekonomi kepada negara kita," ujarnya lagi.

Malah katanya, kerajaan menggalakkan lebih banyak industri tempatan dan akan memberi sokongan kepada sektor pembuatan selagi mampu.

Mengulas mengenai ACGAS, beliau berkata, projek itu berjaya menggunakan bahan komposit yang dapat mengurangkan kegunaan logam dan besi.

Justeru, beliau menyokong usaha dilakukan ACG kerana mampu menghasilkan produk keluaran tempatan.

"Saya ucap tahniah kepada ACG yang telah berjaya mengadakan industri dengan rakan negara lain. Inilah cara kita di Malaysia yang mengeluarkan barangan tempatan. Kalau buat begini, industri berkembang dan banyak industri lain boleh diperkenalkan.

Kerajaan katanya boleh membantu, namun beliau mahu setiap syarikat tempatan meningkatkan usaha sehingga mampu berdiri sendiri.

"Ini kerana kebolehan kerajaan adalah terhad sebab sudah banyak industri memerlukan bantuan kerajaan. Namun, saya harap industri tempatan akan mencapai kejayaan dan diterima baik rakyat dan membendung pengaliran wang ke luar negara," tambahnya.