Kerajaan akan membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di Pakistan pada Sabtu ini, kata Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Menurut Hishammuddin, rakyat Malaysia yang berhasrat untuk pulang ke tanah air itu akan menaiki pesawat khas penerbangan Pakistan International Airlines (PIA) dari Islamabad ke Kuala Lumpur.

Katanya, keputusan tersebut diambil susulan perbincangan dengan Menteri Luar Pakistan, Makhdoom Shah Mahmood Qureshi menerusi perbualan telefon.

“Berhubung isu rakyat yang terkandas, kami bersetuju supaya rakyat kedua-dua negara (dibenarkan) pulang untuk bersatu semula dengan keluarga mereka.


“Dalam konteks ini, kementerian meminta kerajaan Pakistan memberikan bantuan kepada rakyat Malaysia yang berhasrat pulang dan memudahkan pergerakan mereka untuk menaiki pesawat khas PIA dari Islamabad ke Kuala Lumpur pada Sabtu ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, kerajaan Malaysia akan memberikan bantuan yang diperlukan dalam proses repatriasi 300 warga Pakistan yang akan menaiki penerbangan PIA pulang ke Pakistan.

Sementara itu, Hishammuddin berkata, kedua-dua Menteri Luar itu bersetuju bahawa Malaysia dan Pakistan harus bekerjasama dalam membendung wabak COVID-19.