Semua pihak diminta untuk bersedia berdepan kemungkinan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dikuatkuasa semula jika penularan jangkitan wabak COVID-19 kembali meningkat.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan kerajaan bergantung sepenuhnya kepada situasi semasa dan data mengenai kadar penularan COVID-19 yang diperoleh daripada Kementerian Kesihatan (KKM).

Sehubungan itu, beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata, ada kemungkinan keputusan yang akan diambil kerajaan berbeza berbanding sebelum ini.

"Kita lihat banyak negara di dunia seperti Jerman, Korea Selatan, China dan sebagainya membuka negara mereka (daripada perintah berkurung atau kawalan pergerakan), tetapi apabila situasi berubah, akhirnya mereka perlu tutup semula.

"Kita baca berita semalam bahawa Arab Saudi yang sebelum ini tiada penutupan sepenuhnya, kini akan mengenakan perintah berkurung selama 24 jam berkuat kuasa selama lima hari, iaitu dari 23 hingga 27 Mei.

"Oleh itu, selama lima hari termasuk ketika Aidilfitri, negara mereka ditutup atau dikenakan perintah berkurung. Kita bernasib baik apabila kerajaan memberikan sedikit kelonggaran," katanya dalam sidang media harian di sini pada Khamis.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, kebebasan yang diberikan kerajaan menerusi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) perlu dimanfaat semua pihak dengan memastikan pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Setiap kebebasan perlu dihargai dengan penuh tanggungjawab iaitu menjaga kepentingan diri dan masyarakat, termasuk keselamatan keluarga sendiri," ujarnya.