Bukan isu orang lama atau baru, sebaliknya pilihan yang dibuat rakyat pada pilihan raya umum yang lalu adalah atas dasar kepercayaan.

Itu dapatan yang dibuat panel dalam sesi forum Democratic Transition: Impacts on South East Asia yang berlangsung pada Rabu.

Kembalinya beberapa personaliti dan tokoh lama di pentas politik tempatan adalah disebabkan rakyat merasakan mereka memerlukan perubahan dalam corak kepimpinan negara.

"Kita cuma mahu untuk kembali mempunyai rasa percaya, berani untuk berharap dan merasa berinspirasi terhadap kepimpinan negara.

"Memang ia sesuatu yang tidak dijangka dan membuatkan kita teruja, dan kini kita berada dalam fasa membina semula negara, dan banyak kerosakan yang perlu diperbaiki.

"Saya faham, memang kita mahukan semua yang dirancang dilakukan dengan cepat, tetapi jika ia dilakukan dengan tergesa-gesa, apa gunanya?" kata Lee Hwok-Aun, felo di Yusof Ishak Institute.

Namun begitu, kerajaan juga perlu berhati-hati dalam merencana perancangan kerana setiap langkah mereka diperhatikan rakyat, yang tentunya mahu melihat hasil dalam tempoh yang singkat.

"Sistem yang dijalankan (dahulu) huru-hara. Keputusan dibuat dengan begitu mudah.

"Saya risau jika kita akan kembali ke zaman itu. Saya tidak menuduh Pakatan Harapan akan bertindak sedemikian, tetapi sekarang saya lebih rasa bimbang daripada gembira," kata Ketua Penyelidik IMAN Research, Vilashini Somiah.

Forum diskusi anjuran IMAN Research itu berlangsung selama dua jam dan disertai empat orang panel.

Selain Vilashini dan Lee, ia turut disertai James Gomez dari Asia Centre serta Pengarah Eksekutif WATAN, Masjaliza Hamzah.

Ia bertujuan membincangkan situasi politik tempatan dan serantau, pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Mei lalu.