Rakyat Sarawak mahu berdiri sama tinggi dengan rakan mereka di Semenanjung daripada segi pembangunan ekonomi, kata Ketua Menteri Datuk Abang Johari Tun Abang Openg .

Beliau berkata ini adalah harapan dan aspirasi pemimpin pengasas apabila mereka menandatangani Perjanjian Malaysia pada 1963.

"Ia juga adalah harapan semua rakyat Sarawak semalam, hari ini dan esok," kata beliau pada sambutan Hari Malaysia peringkat negeri di Dataran Bandar Sibu malam Sabtu.

Beliau percaya implikasi yang lebih besar ialah penduduk di Sarawak dan Sabah tidak mahu mengambil mudah bukan sahaja daripada segi sejarah tetapi juga ekonomi dan politik.

"Kita percaya Malaysia boleh menjadi negara yang lebih kuat jika rakyat di Sarawak berdiri sama tinggi dengan rakyat di Semenanjung yang terpisah oleh Laut China Selatan. Rasa tidak puas hati hanya akan mencetuskan perbalahan dan perpecahan di kalangan rakyat Malaysia," kata beliau.

Beliau berkata memang tidak dinafikan bahawa Sarawak ketinggalan daripada segi pembangunan infrastruktur berbanding Semenanjung tetapi Perdana Menteri menyedari aspirasi rakyat Sarawak bahawa mereka harus mempunyai sekurang-kurangnya satu sistem jalan raya bertaraf lebuh raya selepas 54 tahun menjadi sebahagian daripada Malaysia.

"Oleh itu, pembinaan Lebuhraya Pan Borneo adalah amat dialu-alukan," kata Ketua Menteri.

Mengenai sambutan Hari Malaysia, Abang Johari berkata rakyat Sarawak atau Sabah merasakan bahawa adalah penting untuk memberi pengiktirafan kepada 16 September dan tidak melupakannya sebagai sebahagian daripada sejarah.

Ketiga-tiga wilayah; Tanah Melayu, Sarawak dan Sabah merupakan pihak-pihak bagi pembentukan Malaysia.

Ia adalah lebih penting daripada tarikh 31 Ogos bagi mereka tetapi ini tidak bermakna bahawa Sarawak tidak mengiktiraf tarikh 31 Ogos sebagai hari yang penting yang kini dikenali sebagai Hari Kebangsaan.

"Kita menghormati 31 Ogos, 1957 sebagai tarikh apabila Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan daripada kerajaan Britain dan selepas itu enam tahun kemudian pada 16 September 1963, maka lahirlah pembentukan Malaysia, yang kita raikan sekarang.

"Pemimpin terdahulu yang terdiri daripada pelbagai kaum telah beresetuju untuk membentuk Malaysia bersama Malaya dan Sabah. Kita akan menghormati dan berpegang kepada perjanjian itu untuk selama-lamanya," kata beliau.

Kira-kira 7,000 orang tidak menghiraukan hujan untuk menyertai sambutan yang dilancarkan oleh Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud.

Turut hadir isteri Abdul Taib Toh Puan Raghad Kurdi Taib, isteri Abang Johari Datin Patinggi Jumaa'ni Tun Tuanku Bujang, para menteri kabinet negeri dan persekutuan.

-- BERNAMA