UNTUK Bersih dan Himpunan Baju Merah, apa yang kita lihat di dada akhbar ialah kehebatan dua blok iaitu yang menuntut hak daripada kerajaan dan yang cuba menentang mereka yang menentang kerajaan. Di dada akhbar, yang akan terpampang ialah beberapa figura yang kelihatan gah seolah-olah mereka sedang menganjurkan reformasi kebangkitan secara besar-besaran. Mereka ini, dengan jawatan dan pangkat yang tinggi, dengan nama mempunyai gelaran Doktor, profesor, datin dan datuk seri seolah-olah hero yang diangkat tinggi ketika perhimpunan ini dilangsungkan nanti. Tetapi pada hakikatnya, pada realitinya yang tersendiri, mereka inilah yang paling tidak berfungsi ketika hari perhimpunan ini.

Pada perhimpunan ini nanti, yang akan mencetuskan provokasi ialah daripada kalangan rakyat sendiri. Yang akan bersesak dan berpanasan juga daripada kalangan rakyat sendiri nanti. Laungan reformasi, laungan mahukan keadilan adalah suara rakyat yang dimobilisasikan daripada pelbagai tempat. Ada yang datang dari jauh dengan ikhlas benar-benar mahu memperjuangkan kehendak rakyat tetapi dipergunakan oleh mereka yang bernama penganjur.

Rakyat sedang dipergunakan daripada awal perhimpunan Bersih lagi. Kononnya ia adalah suara rakyat hasil daripada perhimpunan bersama rakyat. Sedangkan ia hanyalah suatu bentuk manifestasi bahawa rakyat boleh dipergunakan untuk kepentingan peribadi individu tertentu. Himpunan juga adalah cara rakyat dimobilisasikan daripada pelbagai tempat dan memperlihatkan bahawa penganjur mendapat sokongan ramai walhal bukanlah semuanya benar-benar mahukan himpunan ini berlangsung.

Himpunan bukanlah sesuatu yang salah di sisi undang-undang negara ini. Kesalahan yang berlaku ialah keganasan, kekerasan dan ancaman yang dihadapi oleh mereka yang berhimpun secara aman. Contohnya apabila terdapat sentuhan fizikal, caci mencaci dan memburukkan pemimpin mahupun keperibadian seseorang seperti yang terjadi pada siri-siri himpunan sebelum ini. Hak berhimpun ialah satu hak yang diberikan kepada rakyat.Ia bukanlah sesuatu yang salah. Kesalahan yang berlaku ialah apabila terdapat pihak yang mengganggu perhimpunan yang diadakan melalui cara provokasi, keganasan dan kekerasan. Inilah yang akan mewujudkan ketegangan dalam perhimpunan.

Tidak dinafikan, berhimpun merupakan hak rakyat yang telah termaktub dalam perlembagaan. Tidak dinafikan juga bahawa himpunan Bersih yang menuntut pilihan raya yang lebih adil dan saksama telah mendapat perhatian dimana dakwat kekal telah digunakan. Himpunan sebegini juga memperlihatkan bahawa rakyat sangat mengambil berat akan hal semasa yang berlaku dalam negara. Tetapi apa yang cuba ingin disampaikan ialah betapa, rakyatlah yang paling banyak dipergunakan demi mencapai segala objektif ini.

Melalui laungan keramat, suara rakyat, “people power” dan sebagainya, rakyat secara mudahnya dimanipulasi menjadi satu gerakan untuk memenuhi agenda sesuatu parti dan kumpulan mahupun individu. Rakyat seharusnya sedar bahawa impak negatif lebih banyak dihadapi oleh rakyat sendiri berbanding mereka yang bernama penganjur iaitu datuk-datin dan datuk seri.

Secara zahirnya, ketika himpunan berlaku, rakyat dipergunakan untuk memperlihatkan jumlah kehadiran sebagai kayu ukur keberkesanan perhimpunan ini. Rakyat juga merupakan barisan hadapan yang akan menentang dan melakukan provokasi sekiranya ada tentangan daripada pihak lain. Rakyat jugalah yang akan menentang pihak berkuasa sekiranya pihak berkuasa cuba campur tangan. Rakyatlah yang akan menjadi mangsa sekiranya berlakunya ketegangan. Seperti apa yang pernah terjadi sebelum ini, rakyatlah yang dilanggar dengan kereta ketika himpunan sedang berlangsung. Rakyatlah yang merasai gas pemedih mata dan pancuran air ketika diminta menenangkan keadaan.

Daripada golongan bukan peserta pula, polis dan FRU adalah golongan rakyat yang paling dikasihani. Mereka berkhidmat untuk kerajaan, untuk masyarakat, untuk Malaysia dan kedaulatannya. Tetapi mereka inilah yang terpaksa menghadapi kemarahan rakyat ketika himpunan dianjurkan. Demi keamanan himpunan, polislah yang turun ke padang untuk mengawal negara. Polislah yang menahan segala amukan dan cacian yang dilemparkan. Gelaran-gelaran yang tidak beradab dilemparkan terhadap wira-wira negara yang dibayar
gaji murah untuk memastikan setiap rakyat hidup aman damai.

Selain itu, penduduk tempatan, gerai-gerai, peniaga turut menerima tempias. Perniagaan mereka ada yang akan mengalami kerugian. Orang awam yang datang untuk urusan peribadi disusahkan. Beberapa perkara yang lebih besar, pelaburan negara akan terjejas dan rakyatlah yang paling teruk menerima kesan. Kita tidak sedar akan hal ini ketika kita berada dalam himpunan. Bagi kita, himpunan ialah jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah dan memberitahu kerajaan tentang suara rakyat walhal impak jangka panjangnya kita jugalah yang akan merasakan kesannya kelak.

Wahai rakyat yang budiman, hanya ada satu sahaja perkara yang perlu kita jadikan persoalan. Jika benar kita hendak menyampaikan mesej kepada kerajaan kenapa himpunan ini diadakan ditempat yang tidak ada menteri mahupun pihak berkuasa tempatan. Kenapa tidak himpunan ini diadakan dihadapan kementerian yang berkaitan. Adakah kerana rakyat sukar untuk dipergunakan untuk ke sana? Adakah jika buat disana populariti himpunan ini akan merosot dan penganjur tidak mendapat nama? Rakyatlah jawapan utamanya. Rakyat tidak boleh dipergunakan sepenuhnya sekiranya ia diadakan di kawasan pentadbiran kerajaan walhal disitulah mesej yang hendak dibawa lebih mudah disampaikan.

Sekadar pesanan peribadi daripada manusia kerdil ini, untuk perhimpunan akan datang, yang akan kelihatan kotor adalah rakyat, polis, dan orang awam. Penganjur akan kekal kelihatan hero. Penganjur akan kekal keluar surat khabar dengan kenyataan yang hebat. Penganjur akan kekal naik pangkat, penganjur akan terus-menerus terima pujian dan insentif yang diberi rakyat.

Yang akan kelihatan jahat ialah polis, tentera, orang awam dan rakyat. Orang-orang yang miskin dan tidak berpangkat akan terus hidup dalam penindasan. Orang-orang yang miskin akan dicaturkan untuk bergaduh sesama sendiri. Orang-orang miskin, hanya akan kelihatan seperti orang yang tidak berakal.

Pasca perhimpunan, gambar yang akan ada dalam surat khabar dan alam maya ialah, keganasan rakyat, dan juga keganasan polis (juga rakyat).

Akan ada juga gambar dalam akhbar, wakil-wakil rakyat berbaju hebat, tanpa tergugat, menyelar tindakan rakyat. Rakyat yang sangat mengharapkan ketelusan pemimpin untuk mewakili mereka.

Dan ini akan terus berlaku selagi mereka yang memerintah tidak bermuhasabah diri. Adakah mereka menjadi Menteri, kerana sayangkan negeri, atau sayangkan anak isteri. Adakah mereka menjadi menteri hanya untuk menjaga periuk nasi, bebas berjalan kesana ke sini, ke dalam ke luar negeri, atau mereka sebenarnya perlu merasai kesusahan yang rakyat alami, dan sama ubah ke arah lebih baik.

Sudah tiba masanya rakyat dan polis (yang juga rakyat) bersatu padu untuk menjadikan himpunan kali ini bukanlah medan untuk rakyat dipergunakan. Rakyat sudah dipergunakan terlalu lama. Sudah tiba masanya rakyat menjadi lebih bijak untuk mendengar tanpa perlu mengikut secara membuta tuli tindakan-tindakan yang hanya bertujuan memperoleh matlamat peribadi dan menaikkan populariti. Kitalah penentu masa depan negara, jangan biarkan diri kita diperguna oleh mereka.


*Ishak Sairozi adalah merupakan Eksekutif Yayasan 1Malaysia dan pembaca tegar AstroAwani.com

**Kenyataan di atas adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI