Demi membantu kelompok sasaran yang terpencil bersempena bulan Ramadan, sekumpulan anak muda mencari jalan meringankan beban golongan ini melalui program 'The Ramadan Project'.

Inisiatif tersebut yang dipelopori kumpulan anak muda menerusi Happy Bank yang sudah masuk tahun keempat diusahakan dan pada tahun ini disasarkan kepada komuniti PPR Taman Medan.

Sejak ditubuhkan pada tahun 2014, Happy Bank telah menjalankan pelbagai program dan aktiviti yang membantu kelompok sasaran terpencil termasuklah golongan miskin tegar di luar bandar, kumpulan Rohingya dan anak-anak yatim melalui jaringan kerjasama dengan badan kebajikan bukan kerajaan yang lain serta syarikat korporat.

Menurut Pengasas, Nurainie Haziqah Shafi’i, 28, program dan aktiviti yang dijalankan bertujuan untuk membantu kelompok yang jarang mendapat perhatian daripada syarikat-syarikat korporat mahupun kerajaan akibat kekangan akses dan hubungan antara kelompok ini.

Antara persiapan yang diusahakan demi menjayakan The Ramadan Project.

"Happy Bank bertindak sebagai jambatan antara pemberi dan penerima manfaat bagi memastikan bantuan disalurkan secara telus dan adil," katanya.

Tambah Nurainie, kebanyakan projek yang dilaksanakan bersifat berterusan, dan “one-off” mengikut kepada kesesuaian masa dan keperluan kelompok tersebut.

"Sejak 2014, Happy Bank telah menjelajah ke Pahang, Kedah dan Selangor melalui inisiatif 'The Ramadan Project'.

"Inisiatif ini merupakan inisiatif utama dan yang pertama dijalankan oleh Happy Bank dan setiap penerima manfaat yang dikenal pasti akan diberi bantuan berupa makanan keperluan asas. Bantuan ini bukan sahaja membantu keluarga untuk menghadapi Ramadan, malah persiapan kepada Syawal juga," katanya.

Tambah beliau, uniknya bagi Ramadan kali ini, Happy Bank bukan sahaja memberi barangan keperluan asas, malah keluarga daripada PPR Taman Medan turut diberi bantuan pakaian raya yang diberikan kepada mereka.

"Selain itu, projek tahun ini juga mendapat sokongan daripada syarikat korporat QSR Brands sebagai penaja utama.

“Pada tahun-tahun sebelum ini, kami memfokuskan kepada golongan miskin tegar di luar bandar, namun tahun ini kami memilih PPR Taman Medan kerana saya dan rakan-rakan secara peribadi terkesan dengan kajian terkini daripada Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) yang memberikan gambaran yang lebih kritikal khususnya melibatkan golongan miskin bandar," kata Nurainie.

Tiada kata-kata dapat diungkapkan apabila dapat melihat kegembiraan terpancar pada wajah mereka yang menerima bantuan.

Berdasarkan kajian itu, tinjauan daripada 17 projek perumahan rakyat (PPR) di sekitar Kuala Lumpur mendapati masalah kemiskinan bandar berkait rapat dengan masalah kekurangan zat makanan dalam kalangan kanak-kanak, iaitu sebanyak 10 peratus kanak-kanak menikmati kurang daripada tiga hidangan sehari.

Beliau berharap agar inisiatif kepada PPR Taman Medan kali ini akan menjadi permulaan dan asas kepada inisiatif-inisiatif yang akan datang dan boleh memberi fokus terutamanya untuk membantu masalah nutrisi dalam kalangan kanak-kanak di sini.

Program yang melibatkan 18 orang sukarelawan, turut diceriakan dengan aktiviti berbuka puasa beramai-ramai antara sukarelawan, penaja utama QSR Brands dan penduduk setempat.

Antara kanak-kanak yang menikmati keceriaan Aidilfitri tahun ini yang dibawakan khusus untuk mereka menerusi The Ramadan Prroject.