Banyak pihak di Sarawak berharap Bajet 2016 yang akan dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak Jumaat ini mengetengahkan soal menangani kos sara hidup, terutama langkah menurunkan harga barang.

Setiausaha Agung Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS) Mohd Zain Abang Ismail berkata harga barang terutama di kawasan pedalaman di Sarawak misalnya amat bergantung kepada beberapa kerat peniaga, menyebabkan kebanyakan harganya dikawal sepenuhnya pengusaha tertentu.

Beliau berkata ini mengakibatkan harga boleh dinaikkan pada bila-bila masa dengan memberi pelbagai alasan, yang tidak dapat dipastikan kebenarannya.

Antaranya pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), kenaikan harga bahan api, dan kesukaran bekalan, kata beliau.

Menurutnya keadaan diburukkan apabila penduduk tidak memiliki akses untuk mendapatkan maklumat mengenai kedudukan sebenar bekalan barangan.

Selain itu Mohamad Zain berkata masalah paling ketara ialah kenaikan harga rumah yang didapati melonjak tinggi, sama ada di kotaraya besar Kuala Lumpur, mahupun di pedalaman Sarawak.

Beliau yang dihubungi Bernama berkata harga rumah yang tinggi menyukarkan golongan belia, khususnya yang baru bekerja, untuk mengimpikan sebuah kediaman selesa.

Selain itu beliau juga berharap agar bajet itu dapat membantu dalam menyediakan peluang pekerjaan kepada orang ramai, khususnya golongan belia yang baru menamatkan pengajian.

Sementara itu, Persatuan Suara Penggunan Sarawak (Covas) berharap bajet itu bakal bersifat mesra pengguna dalam keadaan ekonomi lembab dan nilai sara hidup yang meningkat.

Naib Presidennya Philip Ng berkata tidak diragukan bahawa pelaksanaan GST mengakibatkan eksploitasi dan manipulasi peniaga yang mengakibatkan kos sara hidup yang tinggi.

Ketika dihubungi Bernama, Philip berharap projek rumah PR1MA dipercepatkan agar pengguna boleh mendapat akses untuk rumah murah.

Sementara itu, timbalan setiausaha agung Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak Chambai Lindong berkata, bajet berkenaan harus dapat meringankan kesulitan penduduk luar bandar akibat kelembaban ekonomi.

Katanya, eksesais mengukur tanah adat pribumi juga perlu diteruskan di bawah bajet berkenaan.

"Tindakan ukur perimeter dijadualkan siap menjelang hujung tahun ini dan ini perlu diikuti dengan ukur tanah individu," kata beliau.