Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang Prof P Ramasamy akan mengadakan pertemuan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa dalam masa yang terdekat bagi membincang isu dakwaan beliau (Ramasamy) mempunyai kaitan dengan Harimau Pembebasan Tamil (LTTE).

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata Ramasamy telah banyak kali menjelaskan bahawa beliau hanya melibatkan diri dalam perdamaian tetapi masih ramai yang mahukan penjelasannya.

"Saya telah diberitahu bahawa Mujahid telah menghubungi Ramasamy untuk mengaturkan pertemuan mereka bagi membincangkan isu itu," katanya kepada pemberita di sini.

Sementara itu Ramasamy dalam satu kenyataan sekali lagi mengulangi pendirian bahawa beliau bukan seorang pengganas, sebaliknya beliau adalah seorang pejuang kebebasan yang berprinsipkan perdamaian.

Ramasamy berkata dakwaan bahawa beliau adalah anggota kumpulan pengganas disebabkan penglibatannya dalam proses perdamaian di antara LTTE dengan kerajaan Sri Lanka adalah palsu.

"Saya ingin menyatakan bahawa dakwaan ini adalah palsu dan sengaja dibuat bagi mengapi-apikan isu berhubung kenyataan saya meminta kerajaan mengekstradisi pendakwah tersohor Zakir Naik ke India ," katanya.

Ramasamy yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai berkata beliau sebagai ahli akademik selama 26 tahun di Universiti Kebangsaan Malaysia (1981- 2005) telah terlibat dengan beberapa usaha perdamaian konflik antarabangsa seperti di Colombia Amerika Selatan, Sri Lanka, Aceh, Indonesia dan di Mindanao, Filipina.

"Saya sekali lagi ingin menegaskan bahawa saya adalah seorang yang berpegang teguh kepada prinsip perdamaian dan tidak langsung menyokong kepada perang dan senjata kerana perang hanya akan membawa kemusnahan," katanya.

Gambar yang memaparkan Ramasamy dan ahli politik pro-LTTE V Gopalasamy yang dikatakan diambil dalam majlis perkahwinan baru-baru ini tular di media sosial dan menimbulkan dakwaan ahli politik DAP itu mempunyai hubungan dengan kumpulan di Sri Lanka yang dianggap sebagai pengganas oleh beberapa negara.

Susulan itu, pelbagai pihak tampil membuat lebih 50 laporan polis terhadap Ramasamy kerana dikatakan menyokong kumpulan pengganas LTTE.

-- BERNAMA