Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin Ramesh Rao Krishnan hari ini mengakui kesilapan menamakan seorang individu sebagai pakar pereka laman web yang terlibat dalam memalsukan kandungan laporan Sarawak Report mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ramesh berkata walaupun berlaku kesilapan fakta dalam menamakan pakar pereka laman web dalam video itu, yang didakwa diupah editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown untuk memalsukan kandungan laporan Sarawak Report mengenai 1MDB, namun apa yang dinyatakan bekas pengarang Sarawak Tribune Lester Melanyi adalah benar.

"Kami (Ramesh dan Lester) mungkin membuat silap dalam mengenal pasti pakar pereka laman web itu...kerana bertindak tergesa-gesa, dalam video itu individu yang didakwa pereka laman web itu sebenarnya adalah gambar seorang pengurus jualan dari perkhidmatan keretapi di Britain," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Ramesh berkata bahagian ketiga video itu akan didedahkan selewat-lewatnya minggu depan, video itu akan membuktikan bahawa Lester pernah bekerja dengan Sarawak Report yang dinafikan oleh Clare sebelum ini.

"Lester dijadual akan mengadakan sidang media bersama saya pada masa yang terdekat ini bagaimanapun tarikh sidang media itu masih belum ditetapkan kerana buat masa ini Lester perlu memberi kenyataan kepada polis di Bukit Aman, Kuala Lumpur.

"Kami ada bukti tiket penerbangan dibeli Clare untuk Lester untuk perjalanannya ke London, United Kingdom untuk sesi mesyuarat mereka berdua di sana. Kalau Lester diisytiharkan muflis seperti didakwa anggota pembangkang
kenapa Clare menggunakan kad kreditnya untuk membeli tiket penerbangan untuk Lester dan anggota keluarganya ke London?

"Kami ada bukti mengenainya dan akan mendedahkannya minggu depan apabila Lester hadir pada sidang media itu," katanya.

Dalam video berdurasi 6.02 minit itu, Melanyi mendedahkan hampir 90 peratus kandungan laporan Sarawak Report mengenai syarikat pelaburan negara 1MDB itu didakwa diubah suai oleh pembangkang untuk memburukkan kerajaan dan menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dalam video itu, Melanyi turut menamakan seorang pakar pereka laman web berpangkalan di London yang didakwanya diupah Rewcastle-Brown bagi mengubah dan mereka e-mel serta perjanjian palsu sehingga kelihatan tulen.

Sementara itu, dalam isu berlainan, bekas pembantu peribadi anggota Parlimen Seputeh Teresa Kok, Tony Tan Chee Chong berkata Anggota Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua perlu mengisytiharkan wang simpanan didakwa dianggarkan berjumlah RM3 juta yang disimpan di sebuah bank di luar negara.

"Saya mempunyai bukti untuk mendedahkan perkara ini dan akan mendedahkannya pada masa yang sesuai kelak," katanya.

Pua kerap kali meminta kerajaan untuk mempamerkan ketelusan dalam pelbagai perkara maka kali ini beliau harus bersikap telus dan mengisytiharkan hartanya, katanya.