Amerika Syarikat (AS) sedang menimbang untuk menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di negara itu, Januari depan, kata Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.

Katanya, beliau dimaklumkan menerusi komunikasi dengan Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo ketika menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-35 di Bangkok, minggu lalu.

Menurutnya, Pompeo menghubungi beliau ketika di Bangkok dengan meminta pendirian Malaysia selepas Chile membatalkan sidang itu yang dijadual pada 16 dan 17 November ini ekoran ketegangan krisis politik dan protes besar-besaran di beberapa bandar raya utama negara itu.

"Tetapi saya memaklumkan kepada pegawai AS yang berada di Bangkok bahawa ia bukan idea yang baik," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Malaysia dijadual menghoskan APEC pada tahun depan.

Saifuddin telah mengiringi Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-35 dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan di Bangkok.

Sempena Sidang Kemuncak AS-ASEAN, Isnin lalu, di Bangkok, Presiden Donald Trump mengundang pemimpin ASEAN menghadiri satu sidang kemuncak khas di negara itu pada suku pertama tahun depan.

Jemputan itu disampaikan menerusi Penasihat Keselamatan Nasional AS, Robert O'Brien pada Sidang Kemuncak AS-ASEAN di luar Sidang Kemuncak ASEAN itu.

Saifuddin berkata satu jemputan telah disampaikan kepada Dr Mahathir untuk menghadiri cadangan sidang kemuncak khas di AS.

"Saya tidak diberitahu sebarang maklumat yang terkandung dalam surat itu," katanya ketika ditanya mengenai pendirian kerajaan berhubung jemputan itu.

Saifuddin juga ditanya mengenai penahanan Naib Presiden Parti Penyelamat Nasional Kemboja (CNRP) , Mu Sochua, sebuah parti diharamkan di Kemboja, oleh Jabatan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), malam tadi .

"Setahu saya, saya fikir pihak berkuasa hanya mahu menyoal wanita itu... mungkin hendak tahu tujuan wanita itu datang ke Malaysia.

"Apa pun, pendirian Wisma Putra, kita tidak berada dalam posisi untuk menghantar pulang sesiapa atau kita suka untuk berbuat demikian.

"Kita membuat keputusan secara sendiri dan bukan kerana permintaan atau campur tangan dari negara luar," katanya.

Dilaporkan Mu Sochua, 65, datang ke Kuala Lumpur menggunakan pasport AS dan kini sedang disoal di KLIA. - BERNAMA