Rancangan Pemajuan Nasional (RPN) penentu hala tuju pembangunan negara - PM Najib

Rancangan Pemajuan Nasional (RPN) penentu hala tuju pembangunan negara - PM Najib
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika melancarkan Rancangan Dasar Fizikal Negara Ketiga, Dasar Perbandaran Negara Kedua dan Dasar Perancangan Fizikal Desa Negara di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya. --fotoBERNAMA
PUTRAJAYA: Pelaksanaan dasar di bawah Rancangan Pemajuan Nasional (RPN) akan menjadi penentu hala tuju pembangunan negara yang lebih dinamik, seimbang dan daya tahan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata menerusi pelaksanaan Rancangan Fizikal Negara Ketiga (RFN Ke-3), Dasar Perbandaran Negara Kedua (DPN2) dan Dasar Perancangan Fizikal Desa Negara (DPF Desa Negara) yang holistik, ia mampu menangani cabaran pembangunan masa depan.
Beliau berkata ketiga-tiga dokumen RPN itu adalah sangat mustahak untuk menjadi sebagai rujukan utama oleh pelbagai agensi dalam merangka program-program pembangunan fizikal negara yang efisien dan mampan.

"Saya percaya dokumen perancangan yang telah dirangka ini, sememangnya berpaksikan kepada manifestasi dan mengambil kira pandangan, kemahuan serta aspirasi dan keperluan setiap lapisan masyarakat negara ini.

"Pengukuhan dan lonjakan dari segi kemampuan daya saing ekonomi kawasan desa amat perlu khususnya bagi menarik pelaburan bernilai tinggi dan mewujudkan rantaian nilai aktiviti ekonomi seimbang antara bandar serta desa," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran ketiga-tiga dokumen tersebut di sini hari ini.

Jelasnya, penyediaan RPN itu adalah selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-11 untuk memastikan pembangunan berlaku dengan seimbang dan saksama di setiap ceruk rantau, tidak kira kampung, desa, mahupun bandar di seluruh negara.

Turut hadir Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar dan timbalannya Datuk Halimah Mohd Sadique.