Kementerian Luar terus komited untuk memperkukuhkan hubungan dua hala dengan semua negara sepanjang krisis menghadapi pandemik COVID-19.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, semua perancangan berkaitan sedang dijalankan termasuk membina hubungan rapat dengan negara luar.


"Hari ini merupakan hari keempat Ramadan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Wisma Putra masih bekerja keras dalam memikul tanggungjawab untuk memperkukuhkan hubungan dengan negara luar.

"Apa yang dirancangkan, hubungan dengan negara luar sana tetap diperkukuhkan serta tidak ada perkara yang boleh menjejaskan perjalanan rancangan ini," katanya menerusi satu klip video di akaun Twitter miliknya pada Isnin.

Dalam pada itu, Hishammuddin meminta agar semua pihak duduk di rumah dan terus patuh PKP.

"Saya harap agar semua mendoakan kami di Wisma Putra dan duduk di rumah untuk membolehkan kami buat kerja dan tanggungjawab ini," ujarnya lagi.