Setiap rakyat Malaysia mempunyai rancangan persaraan sendiri, bagaimanapun, tidak semua daripada mereka dapat membuat persediaan secukupnya disebabkan beberapa halangan dan kekangan.

Sebahagian daripada rakyat Malaysia terpaksa bergantung kepada caruman dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebaik sahaja mereka bersara manakala yang lainnya pula mungkin mempunyai pelaburan dalam produk kewangan lain misalnya skim persaraan persendirian atau Amanah Saham Bumiputera.

Mereka yang bergantung kepada caruman KWSP untuk kegunaan selepas bersara, berhasrat memanfaatkan simpanan itu bagi melangsaikan hutang, memperuntukkan sebahagiannya bagi keperluan perubatan, selain berbelanja dalam aktiviti sosial seperti berjumpa dengan rakan taulan, mengunjungi restoren, dan aktiviti santai lain.

Seorang guru Matematik di Penang Free School, Lim Weng Seong, 58, yang menyertai perkhidmatan awam pada 1982, berkata pada masa dulu, seseorang kakitangan kerajaan mesti membuat caruman KWSP selama 10 tahun sebelum mereka layak dimasukkan ke dalam skim persaraan kerajaan.

"Saya berhasrat menggunakan sebahagian besar daripada caruman KWSP saya untuk melangsaikan semua hutang apabila saya bersara dua tahun lagi. Sungguhpun hanya menyumbang kepada KWSP pada 10 tahun pertama, saya menggunakan akaun KWSP saya sebagai akaun simpanan dengan membuat caruman peribadi selepas beralih kepada skim pencen," katanya kepada Bernama di sini.

Lim berkata beliau akan cuba meningkatkan jumlah caruman menggunakan gaji bulanannya ke dalam akaun KWSP berikutan kadar faedah yang tinggi.

Beliau akan turut menggunakan wang daripada ganjaran persaraan dan gantian cuti rehat untuk membiayai pembelajaran anaknya di institusi pengajian tinggi, memperuntukkan sedikit bagi insurans peribadi dan melabur dalam skim persaraan persendirian.

"Menjelang tibanya waktu persaraan, saya mungkin menimbangkan untuk bekerja sebagai guru sambilan jika simpanan saya itu tidak cukup untuk menampung rutin seharian," katanya, dan menambah, seseorang itu hanya dibenarkan menyimpan secara sukarela dalam KWSP sebanyak RM5,000 sebulan dan RM60,000 setahun.

Lim berkata berikutan kadar faedah yang tinggi iaitu 6 peratus, banyak rakan setugasnya memilih untuk terus menabung dalam akaun KWSP berbanding akaun bank konvensional.

"Saya mempunyai keyakinan terhadap KWSP dalam menguruskan dana, sebab itulah saya menyimpan wang saya dalam akaun ini," katanya.

Bulan lepas, KWSP mengumumkan kuantum bagi simpanan asas akan disemak semula daripada RM196,800 kepada RM228,000 berkuat kuasa 1 Jan 2017 dan jumlah itu akan ditetapkan sebagai sasaran minimum simpanan yang pencarum KWSP perlu ada apabila mereka mencapai usia 55 tahun.

Bagaimanapun, seorang pencarum baharu KWSP, Mohamed Basyir Mohamed Ibrahim, 25, berkata rancangan utama persaraan beliau adalah untuk melangsaikan semua pinjamannya iaitu perumahan, kenderaan dan pinjaman peribadi lain dengan menggunakan tabungannya itu.

Beliau berkata berikutan kenaikan kos sara hidup dan harga hartanah yang melambung tinggi, beliau bimbang carumannya dalam KWSP mungkin tidak cukup untuk beliau melaksanakan segala impiannya sebelum tiba waktu persaraan.

"Saya baru sahaja mencarum dalam KWSP tahun lepas dan saya tidak boleh bergantung semata-mata kepada caruman itu. Saya mungkin memerlukan skim pelaburan persendirian lain supaya saya dapat memenuhi rancangan persaraan saya dan meneruskan hidup," katanya.

Data KWSP menunjukkan bahawa sebahagian besar pencarum menggunakan wang caruman mereka dalam tempoh tiga tahun selepas mengeluarkan simpanan mereka.

Mengenai perancangan kewangan, Mohamed Basyir berkata beliau akan memperuntukkan sebahagian daripadanya dengan menambah simpanan dan mengumpul aset selain mengambil perlindungan insurans apabila semakin menghampiri usia persaraan.

"Hanya dengan berbuat begini, saya akan mempunyai aliran pendapatan sepanjang hayat. Saya juga mungkin mempertimbangkan untuk mengurangkan perbelanjaan harian, membeli rumah berharga lebih murah dan jika perlu, menyimpan sedikit bagi keperluan perubatan," katanya.

Basyir yang kini bekerja sebagai wartawan di sebuah akhbar harian di Pulau Pinang, menyarankan majikan di sektor awam dan swasta supaya menghantar kakitangan mereka menghadiri seminar perancangan kewangan persaraan untuk membantu mereka menyediakan simpanan persaraan ketika masih muda.

Menurut Laporan Tahunan KWSP 2015, hanya 24,458 daripada 14.55 juta pencarum KWSP mempunyai simpanan melebihi RM1 juta.

Tahun ini, kaji selidik terkini mendapati hanya 958,100 daripada 13 juta pencarum, atau 7.37 peratus, mempunyai lebih daripada RM150,000 menjelang usia 55 tahun.

Paling mengejutkan, 90 peratus isirumah di luar bandar dan 86 peratus di kawasan bandar langsung tiada simpanan. -- Bernama