Persidangan Dewan Rakyat malam ini meluluskan Rang Undang-undang Perbekalan 2018 selepas dibahaskan sejak 30 Oktober lepas.

Rang undang-undang itu diluluskan menerusi undian suara dengan majoriti Ahli Parlimen menyokong.

Keputusan itu diumumkan Timbalan Yang DiPertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Ronald Kiandee kira-kira 8.40 malam tadi.

Rang undang-undang itu dibentangkan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani untuk bacaan kali ketiga yang kemudiannya disokong Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membentangkan rang undang-undang itu pada 27 Oktober lepas dan diluluskan di peringkat dasar pada 13 November sebelum ke peringkat jawatankuasa.

Rang undang-undang itu bertujuan memperuntukkan sejumlah RM280.25 bilion untuk perbelanjaan kerajaan pada 2018.

Persidangan dewan bersambung Rabu.