Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sabah mengesahkan rangka sebuah bot ditemukan di perairan Membakut, dekat sini, semalam, bukan bot katamaran membawa pelancong yang karam di Pulau Mengalum pada 28 Jan lepas.

Pengarah APMM Wilayah Sabah dan Labuan Laksamana Pertama Maritim Mohd Zubil Mat Som berkata, rangka bot itu ialah bot katamaran yang mengalami kerosakan enjin ketika membawa sembilan pemancing di perairan berhampiran Pulau Batu Sapi pada 13 Feb lepas.

Dalam kejadian itu, APMM telah menyelamatkan lima kru bot itu manakala sembilan pemancing berkenaan telah diselamatkan lebih awal.

"Semalam kita telah menerima maklumat daripada nelayan tempatan yang mendakwa menemui rangka bot itu kira-kira 100 meter jarak dari Pantai Membakut pada pukul 11.02 pagi.

"Satu usaha mencari rangka itu kemudiannya dilakukan dengan membabitkan aset Bot Kilat 40 dan kita berjaya menemukannya di lokasi berkenaan jam 2.39 petang," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata hasil siasatan mendapati rangka bot itu adalah bot katamaran yang rosak dalam kejadian 13 Feb dan perkara itu disahkan oleh pemilik bot berkenaan.

Zubil berkata susulan pengesahan itu, sehingga kini usaha mencari lima mangsa bot karam di Pulau Mengalum yang masih hilang, yang masuk hari ke-24 hari ini masih belum menemukan petunjuk baharu.

Dalam tragedi 28 Jan lepas, bot pelancong jenis katamaran membawa 28 pelancong warga China dan tiga anak kapal karam, dipercayai akibat angin kencang dan ombak besar ketika dalam perjalanan ke Pulau Mengalum.

Setakat ini, 26 mangsa sudah dijumpai termasuk empat yang maut.

-- BERNAMA