BERIKUT adalah rangkuman berita yang menjadi tumpuan sepanjang pagi ini.

Mahdzir cadang ubah format paparan keputusan pada slip PT3

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid mencadangkan supaya format paparan keputusan pada slip peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) diubah pada masa depan.

Beliau berkata di muka depan slip peperiksaan PT3 sekarang hanya memaparkan keputusan akademik manakala elemen psikometrik, kokurikulum dan sukan yang merupakan komponen di bawah Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) diletakkan di bahagian belakang.

Mahdzir mahu pelan komunikasi untuk memberi penerangan kepada ibu bapa diperhebatkan agar tidak hanya melihat PT3 kepada jumlah A pada pencapaian akademik semata-mata.

Laporan ATSB: Waris harap pencarian MH370 diteruskan di kawasan baharu

Anggota keluarga dan waris penumpang dan anak kapal pesawat MH370 hari ini berharap usaha pencarian bangkai pesawat MH370 diteruskan dengan menumpukan di kawasan baharu yang paling berkemungkinan terletaknya bangkai pesawat itu.

Ini berikutan Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) yang yakin kawasan dasar laut di selatan Lautan Hindi yang dikenal pasti sebagai kawasan pencarian semasa, bukan merupakan tempat terletaknya bangkai pesawat MH370, yang hilang pada 8 Mac 2014.

Pandelela, Nur Dhabitah terima penajaan empat tahun Malaysia Airlines

Malaysia Airlines Berhad (MAB) hari ini mengumumkan penajaan bagi tempoh empat tahun untuk atlet terjun Olimpik negara, Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri.

Tajaan itu bermula pada 2016 sehingga temasya Olimpik akan datang pada 2020 di Tokyo.

Penajaan empat tahun itu meliputi tiket penerbangan pergi-balik untuk kelas bisnes dalam rangkaian perkhidmatan di Malaysia.

27 maut dalam letupan pasar mercun di Mexico

Sekurang-kurangnya 27 orang terbunuh dan 70 lagi cedera dalam letupan pasar mercun di ibu negara Mexico pada Selasa, menurut pihak berkuasa tempatan.

Lapor Reuters, letupan tersebut di pasar mercun San Pablito di Tultepec, kira-kira 32 kilometer di utara Mexico City.

Angka kematian dijangka meningkat sementara usaha mencari dan menyelamat masih diteruskan.

Siapa di sebalik krisis Syria, Iraq dan lain-lain?

Kita berada dalam bencana politik gelap gelita dan mengelirukan. Berita tersebar melalui media sosial dalam ruang lingkup langit terbuka, tetapi ramai yang memperkecilkan petunjuk Al-Quran supaya bertabayyun.

Apa yang membakar bumi Aleppo dan menjadi berita hangat terkini terdengar laksana pencuri memekik perkataan "pencuri" di tengah suara orang yang mengejarnya di waktu malam gelap, memudahkan pencuri sebenar melepaskan diri sambil melaungkan perkataan pencuri.

Banyak media Timur dan Barat mendedahkan betapa krisis Syria membesar dengan bantuan senjata Barat.