BERIKUT adalah tajuk-tajuk berita utama yang menjadi tumpuan sepanjang pagi ini.

Perkasa cadang hukuman rotan mandatori, penjara seumur hidup bagi pesalah rasuah

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mencadangkan supaya pesalah rasuah dikenakan hukuman rotan mandatori dan penjara seumur hidup.

Pengerusi Biro Integriti dan Anti Rasuah Perkasa Jais Abdul Karim berkata hukuman berat itu, yang dikenakan bagi kesalahan mengedar dadah, perlu dilaksanakan bagi membendung masalah rasuah di negara ini.

Petronas pasang pemanas minyak mentah bagi kompleks penapisan di PIC

Petroliam Nasional Bhd (Petronas) berjaya memasang dua relau modular untuk kompleks penapisannya yang kini dalam pembinaan di Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) di Johor.

Dalam kenyataan pada Ahad, Naib Presiden Kanannya, Ir Dr Colin Wong Hee Huing, berkata relau itu, yang biasanya dikenali sebagai pemanas minyak mentah, merupakan komponen penting dalam unit penyulingan mentah dan dalam menyediakan saluran bagi unit pemprosesan lain di kompleks penapisan.

Malaysia beri jaminan kepada EU minyak sawit Malaysia selamat, sihat

Malaysia memberi jaminan kepada Kesatuan Eropah (EU) bahawa minyak sawitnya bukan sahaja selamat dan sihat tetapi juga diusahakan mengikut amalan pertanian yang baik.

Dalam kenyataan pada Ahad, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Mah Siew Keong berkata industri minyak sawit negara tertakluk kepada 60 peraturan meliputi spektrum undang-undang yang luas seperti keselamatan makanan, alam sekitar dan tenaga kerja.

Duterte tetap sokong ketua polis Filipina walau didesak letak jawatan

Presiden Filipina Rodrigo Duterte menunjukkan sokongan kepada ketua polis negara itu walaupun tercetus desakan agar dia meletakkan jawatan berikutan kes seorang usahawan Korea Selatan yang terbunuh sewaktu dalam tahanan di ibu pejabat polis Filipina.

Pegawai khas Duterte, Christopher Go, pada Ahad memberitahu Reuters bahawa Ronald Dela Rosa menerima sokongan penuh daripada Presiden.

'Mengamuk' di tepi padang: Arsene Wenger mohon maaf kepada pengadil

Arsene Wenger mengakui dia bersalah ekoran mengamuk di tepi padang ketika pengadil menghadiahkan sepakan penalti kepada Burnley dalam pertemuan yang berkesudahan 2-1 pada Ahad.

Pengendali The Gunners itu dibuang padang ketika masa kecederaan susulan pengadil, Jon Moss menghadiahkan sepakan penalti pada minit ke-93 yang disempurnakan Andre Gray untuk menyamakan kedudukan.