Tutup

Rasuah: Bekas guru besar didakwa bagi projek pada syarikat isteri, anak

Rasuah: Bekas guru besar didakwa bagi projek pada syarikat isteri, anak
Syed Jaafarullah Habib Jaafar mengaku tidak bersalah atas pertuduhan salah guna kuasa , membabitkan projek pembekalan makanan Rancangan Makanan Tambahan Sekolah kepada syarikat milik isteri dan anaknya. - Gambar BERNAMA
TAWAU: Seorang bekas guru besar hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan salah guna kuasa, membabitkan projek pembekalan makanan Rancangan Makanan Tambahan Sekolah (RMTS) bernilai RM45,961 kepada syarikat milik isteri dan anaknya.

Syed Jaafarullah Habib Jaafar, 64, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.
Syed Jaafarullah didakwa menggunakan kedudukannya sebagai guru besar di Sekolah Kebangsaan Gading-Gading, Kunak, untuk mendapatkan suapan apabila membuat keputusan meluluskan pemberian pembekalan makanan RMTS melalui perjanjian pembekalan makanan bagi tempoh 2011 bernilai RM45,961 (setahun), kepada Seri Gading Enterprise.

Syarikat Seri Gading milik isteri beliau, Zalitah Lakim serta anaknya, Sharifah Adawiah yang mempunyai kepentingan kepadanya.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 3 Januari 2011.

Dia didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan dua penjamin serta syarat tambahan iaitu pasport antarabangsa dan pasport terhad perlu diserahkan pada 31 Oktober ini kepada mahkamah dan menetapkan 5 Disember untuk sebutan semula kes.

Selain itu, tertuduh tidak dibenarkan mengganggu mana-mana saksi pendakwaan termasuk menggunakan orang ketiga sebagai penghubung kepada saksi, sama ada sebelum, semasa atau selepas perbicaraan, di samping perlu melapor diri ke pejabat SPRM Tawau dua bulan sekali.

Pendakwaan kes dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd Faliq Basirudin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. - BERNAMA


Tag: bekas guru besar, salah guna kuasa, rasuah, Rancangan Makanan Tambahan Sekolah, RMT



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.