Seorang Pegawai Bomba Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana meminta dan menerima suapan sebanyak RM1,000, semalam.

Menurut sumber, lelaki berusia 58 tahun itu ditahan kira-kira pukul 7.35 malam di Kapar, Selangor.

Siasatan awal mendapati suspek telah meminta suapan RM1,000 daripada pemilik kilang plastik sebagai dorongan untuk meluluskan pemeriksaan keselamatan di kilang tersebut.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dijalankan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Difahamkan, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor untuk permohonan reman hari ini.