Seorang pengarah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini atas empat pertuduhan salah guna wang milik sebuah syarikat berjumlah RM96,780.

Tertuduh, Kamaruzzaman Kamaludeen, 47 tahun, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid.

Mengikut pertuduhan, tertuduh selaku pengarah Syarikat Northern Petrochem Sdn Bhd telah dengan curang menyalah guna harta dan wang berjumlah RM5,600, RM920, RM8,800 dan RM81,460 milik Syarikat Natureceuticals Sdn Bhd.

Tertuduh ketika itu bertugas sebagai pegawai kewangan di syarikat Natureceuticals.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di empat lokasi berbeza iaitu di RHB Bank Bhd, Taman Inderawasih, Perai, Malayan Bank Bhd, Pusat Perniagaan Rozhan, Alma, AmBank (M) Bhd, Pusat Bandar Seberang Jaya dan Public Bank Bhd, Jalan Jelutong antara 5 Disember 2014 dan 27 Mei 2015.

Bagi keempat-empat kesalahan itu, Kamaruzzaman didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dan sebat, serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohamad Azlan Basri dan S Selvaranjini.

Kamaruzzaman tidak diwakili peguam.

Terdahulu, pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM50,000 bagi kesemua pertuduhan, dengan syarat tambahan, tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM sebulan sekali.

Bagaimanapun, Kamaruzzaman merayu kepada mahkamah agar mengurangkan jumlah jaminan dengan alasan perlu menanggung keluarga dan masalah kesihatan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 untuk keempat-empat pertuduhan berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM sebulan sekali.

Kes akan disebut semula pada 27 Ogos depan.