Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah tidak mempunyai maklumat yang mencukupi untuk membuka kertas siasatan terhadap dakwaan rasuah dan menjual permainan ketika perlawanan akhir Piala Malaysia, pada 4 Nov lalu.

Pengarahnya, Datuk Mohd Fauzi Mohamad, bagaimanapun berkata pihaknya sedang dalam proses mengumpul maklumat mengenai perkara itu sebelum membuka kertas siasatan.

"Kita telah melakukan pemeriksaan awal terhadap enam pemain pasukan Kedah dengan memanggil mereka beberapa hari lalu.

"Tetapi setakat ini kita tidak menerima sebarang laporan rasmi berhubung perkara itu daripada mana-mana pihak. Pemeriksaan awal ini dilakukan berdasarkan maklumat yang tersebar di media sosial," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Sebelum ini, Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) mengesahkan bahawa (SPRM) sudah memanggil pemain yang dituduh menerima rasuah sebelum pertandingan akhir Piala Malaysia minggu lalu.

Isu rasuah itu diperkatakan selepas maklumat mengenai tujuh pemain skuad Kedah yang didakwa menerima sogokan RM200,000 setiap seorang untuk aksi final Piala Malaysia, tersebar melalui laman sosial.

Malah, seorang penyokong Kedah turut membuat laporan polis menggesa siasatan dilakukan pihak berkuasa ke atas penyebaran maklumat yang menjejaskan imej dan maruah skuad Helang Merah itu.

Mengulas lanjut, Mohd Fauzi mengesa orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung dakwaan memberi dan menerima rasuah ketika perlawanan Piala Malaysia 11 Nov lalu tampil membantu membantu siasatan.

Dalam aksi final tersebut, pasukan Johor Darul Ta`zim menjulang Piala Malaysia 2017 selepas menewaskan Kedah 2-0 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Shah Alam.