Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengambil keterangan seorang pengarah agensi kerajaan Persekutuan di Labuan dan dua kontraktor yang ditahan semalam kerana disyaki menyalahgunakan kuasa dan menerima wang suapan.

Menurut sumber kesemua mereka diambil keterangan di SPRM Cawangan Labuan pada kira-kira 12 tengah Selasa.

"Setakat ini, SPRM telah merekod keterangan daripada kesemua suspek untuk membantu siasatan berkaitan kes pembinaan medan selera berharga RM12 juta di Tanjung Purun, Labuan.

"Hasil siasatan kes ini, SPRM sedang menganalisis dokumen berhubung kes berkenaan," katanya kepada Bernama.

Kesemua suspek direman tujuh hari bermula Selasa.

Pada Isnin, pengarah berusia 59 tahun itu ditahan pada kira-kira 11.50 pagi di ibu pejabat SPRM Putrajaya, manakala dua kontraktor itu ditahan pada 6.30 petang di pejabat SPRM Labuan.

SPRM turut membekukan 12 akaun bank pengarah itu membabitkan RM899,000 iaitu sebahagian daripada berjuta-juta ringgit yang dipercayai diraih menerusi rasuah. -- Bernama