Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka berjaya mendapatkan perintah lanjutan reman selama tiga hari lagi terhadap seorang bekas pengerusi masjid di Melaka bagi membantu siasatan berhubung dakwaan rasuah yang berlaku berhubung urusan jual beli tanah wakaf lima tahun lalu.

Suspek yang berusia 66 tahun yang dibawa menaiki kenderaan SPRM dengan memakai pakaian lokap SPRM tiba di perkarangan Kompleks Mahkamah Ayer Keroh sekitar jam 11 pagi tadi.

Perintah lanjutan reman yang dikeluarkan Penolong Pendaftar mahkamah, Mohd Anuar Ostadi sehingga 9 Mei ini, bagi melengkapkan siasatan berhubung dakwaan penerimaan wang rasuah sebanyak RM116,000 dalam urusan jual beli tanah wakaf milik Masjid Al-Hamideen di Bukit China pada tahun 2012 lalu.

Kes tersebut disiasat mengikut seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009 dan seksyen 405 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, pada 3 Mei lalu, suspek bersama seorang lagi individu iaitu bekas setiausaha masjid berkenaan diperintah reman sehingga hari ini selepas dipercayai turut menjual tanah wakaf milik masjid tersebut kepada seorang lelaki yang tidak layak untuk memiliki tanah terbabit.

Bekas setiausaha berusia 46 tahun itu bagaimanapun dilepaskan SPRM dengan jaminan RM10,000 tanpa cagaran dengan dua orang penjamin hari ini.

Sementara itu, semalam seorang ahli perniagaan yang disyaki membeli tanah wakaf milik masjid berkenaan turut diperintah reman selama empat hari.