KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang penjawat awam berhubung kes meminta suapan berjumlah kira-kira RM80,000 bagi membantu mendapatkan kerja pembaikan sebuah sekolah di Selangor.

Sumber berkata, lelaki berusia 35 tahun itu yang merupakan penolong jurutera di sebuah agensi kerajaan dipercayai pegawai yang bertanggungjawab dalam menguruskan projek terbabit.

"Lelaki berkenaan ditahan oleh sepasukan pegawai SPRM Selangor setelah menerima wang tunai RM10,000 daripada seorang individu lain di sebuah restoran di sekitar Bangi kira-kira jam 4 petang tadi, bagi membantu siasatan," katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Beliau berkata, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam esok untuk direman.