Raub menjadi daerah terbaru dilanda banjir menyebabkan jumlah mangsa banjir yang dipindahkan sedikit meningkat kepada 379 mangsa, ditempatkan di lapan pusat pemindahan sementara (PPS) di Pahang pagi ini berbanding 370 orang malam tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang Zainal Yusof berkata sembilan orang di Raub mula dipindahkan pagi ini ke PPS Dewan Semai Bakti Felda Tersang 2.

"Dalam pada itu, Pekan masih menempatkan 281 orang di lima PPS iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Temai (122 orang), Pusat Pemindahan Banjir Kampung Pulau Manis (75 orang).

"Mangsa turut ditempatkan di Balai Raya Kampung Tanjung Pulai (39 orang), SK Acheh (34 orang) dan Balai Raya Kampung Tebat (11 orang)," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Di Maran pula, katanya 38 mangsa masih ditempatkan di PPS Balai Raya Kampung Baru Pertanian manakala daerah Lipis, seramai 51 mangsa yang ditempatkan di SK Chegar Perah.

Sementara itu, tujuh sekolah di Pekan dan Maran yang melibatkan 1,538 murid dan guru masih ditutup hari ini berikutan masalah banjir.

Katanya, di Pekan enam sekolah ialah SK Kampung Acheh, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paloh Hinai, SK Mambang, SK Temai, SK Pelak dan SK Pulau Manis manakala sebuah sekolah di Maran, SK Kertau.

-- BERNAMA