Daerah Raub kembali dilanda banjir kilat sejak awal pagi tadi menyebabkan 73 mangsa membabitkan 22 keluarga dipindahkan ke tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di, setakat jam 1 petang.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pahang Kolonel (PA) Zainal Yusoff, berkata tiga PPS berkenaan adalah PPS Surau RRM Cheroh yang menempatkan 10 orang daripada dua keluarga, Masjid Jamek Kuala Semantan (27 orang dari lapan keluarga) dan Masjid Kampung Ulu Sungai (36 orang dari 12 keluarga)," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, kesemua mangsa adalah dari Kampung Kuala Semantan, Rancangan Rumah Murah (RRM) Cheroh dan Kampung Ulu Sungai.

"Kita jangka jumlah mangsa akan meningkatkan berikutan trend air semakin menaik," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, jumlah mangsa banjir di Pekan pula masih kekal 102 mangsa daripada 26 keluarga di dua pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 10 pagi.

"Dua PPS berkenaan adalah SK Temai yang menempatkan seramai 93 orang daripada 24 keluarga dan Sekolah Kebangsaan (SK) Aceh (9 orang, 2 keluarga)," katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Pengarah JBPM, Mohd Sani Harul berkata, berlaku tanah runtuh di jalan utama dari Jalan Ulu Sungai menghala Technology Park Malaysia (TPM) di Raub sehingga menyebabkan laluan berkenaan ditutup kepada semua kenderaan sejak jam 6 pagi tadi.

Katanya, runtuhan tanah bersama lumpur dan pokok di kawasan berkenaan menyebabkan laluan jalan raya terhalang., bagaimanapun setakat ini, tidak berlaku sebarang kemalangan membabitkan pengguna.