Rayuan akhir pihak pembelaan ke atas hukuman mati terhadap sembilan warga Filipina yang terbabit dalam pencerobohan bersenjata di Lahad Datu pada 2013, bermula hari ini.

Kesemua tertuduh yang didakwa melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, diiringi anggota keselamatan masuk ke Mahkamah Persekutuan pada jam 8.40 pagi.

Sekitar kawasan mahkamah dan ruang lobi turut dikawal ketat pasukan keselamatan.

Wakil media ditempatkan di ruang awam bagi membuat liputan dalam prosiding rayuan berkenaan berikutan faktor keselamatan.

Panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif dibantu Tan Sri Ahmad Maarop, Tan Sri Richard Malanjum, Tan Sri Ramly Ali dan Tan Sri Azahar Mohamed.

Semua responden diwakili peguam Datuk N. Sivananthan bersama enam lagi manakala barisan pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Awang Armadajaya Awang Mahmud dan dibantu sembilan yang lain.

‪Pada 8 Jun‬ tahun lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Datuk Mohd Zawawi Salleh membuat keputusan sebulat suara menjatuhkan hukuman mati selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan supaya hukuman lebih berat dijatuhkan terhadap semua responden.

Mereka adalah Atik Hussin Abu Bakar, 46; Basad H. Manuel, 42; Ismail Yasin, 77; Virgilio Nemar Patulada, 57; Salib Akhmad Emali, 64; Al Wazir Osman, 62; Tani Lahad Dahi, 64; Julham Rashid, 70, dan Datu Amirbahar Hushin Kiram, 54.

Semua responden sebelum ini dihukum penjara seumur hidup oleh Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 25 Julai 2016, selepas didapati bersalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 121 Kanun Keseksaan.

Daripada 30 tertuduh yang didakwa pada 2014, sembilan daripadanya dijatuhi hukuman penjara sepanjang hayat, empat lagi dijatuhi hukuman penjara 18 tahun kerana menjadi ahli kumpulan pengganas manakala empat lagi dipenjara 13 tahun atas tuduhan sama.