Rayuan Anwar cabar pelaksanaan Akta MKN ditolak

Rayuan Anwar cabar pelaksanaan Akta MKN ditolak
Panel itu juga sebulat suara bersetuju bahawa saman Anwar itu mengemukakan isu yang sama iaitu mempersoalkan mengenai kompetensi legislatif Parlimen. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Bekas pemimpin pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi gagal dalam rayuannya untuk mencabar pelaksanaan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Rohana Yusuf menolak rayuan yang difailkan Anwar.

Panel itu juga sebulat suara bersetuju bahawa saman Anwar itu mengemukakan isu yang sama iaitu mempersoalkan mengenai kompetensi legislatif Parlimen.
Sehubungan itu, mahkamah mengekalkan keputusan hakim Mahkamah Tinggi pada 14 Okt 2016, berhubung isu yang sama.

Panel hakim Mahkamah Rayuan itu turut dianggotai Hakim Datuk Ahmadi Asnawi dan Datuk Dr Badariah Sahamid.

Anwar diwakili peguam Gopal Sri Ram manakala peguam kanan persekutuan Datuk Amarjeet Singh mewakili kerajaan Malaysia dan MKN selaku responden.

Pada 14 Okt 2016, Mahkamah Tinggi menolak saman yang difailkan Anwar selepas membenarkan bantahan awal yang dikemukakan responden atas alasan tiada bidang kuasa untuk mendengar saman berkenaan kerana ia membabitkan kompetensi legislatif oleh Parlimen untuk menggubal undang- undang.

Pada 2 Ogos 2016, Anwar memfailkan saman itu selepas mendakwa pelaksanaan Akta MKN 2016, yang berkuat kuasa pada 1 Ogos 2016, adalah tidak berperlembagaan dan tidak sah.

Dalam saman itu, Anwar turut memohon deklarasi Seksyen 12 Akta Perlembagaan, Perkara 66 (4) dan Perkara 66 (4A) Perlembagaan Persekutuan adalah tidak berperlembagaan, batal dan tidak sah selain turut memohon injunksi bagi menghalang MKN daripada mengambil sebarang tindakan mengikut akta itu.

-- BERNAMA